Amaran WHO: 700,000 kematian baharu Covid-19 di Eropah

Gerombolan orang ramai yang berarak untuk menyertai tunjuk perasaan golongan anti-sekatan Covid-19 di Armsterdams, Belanda pada Selasa. (FOTO AFP)
- Advertisement -

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengeluarkan amaran tentang 700,000 lagi kematian baharu akibat jangkitan Covid dijangka melanda benua Eropah menjelang Mac tahun depan.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengunjurkan angka kematian akibat Covid-19  di Eropah akan melepasi dua juta orang menjelang Mac 2022 apabila benua itu menyaksikan lonjakan jangkitan yang mendadak.

- Advertisement -

WHO menegaskan bahawa Eropah kekal ‘digenggam kuat’ oleh pandemik Covid-19  dan angka kematian di benua itu boleh mencecah 2.2 juta pada musim sejuk ini jika trend semasa berterusan.

“700,000 lagi rakyat Eropah dijangka meninggal dunia menjelang 1 Mac 2022,”  kata WHO melalui kenyataan media pada Selasa.

Angka itu adalah sebagai tambahan kepada 1.5 juta yang telah meninggal dunia akibat virus tersebut. WHO menjangka ‘tekanan tinggi atau melampau dalam unit rawatan rapi (ICU) di pusat-pusat perubatan di 49 daripada 53 negara di Eropah antara sekarang dan 1 Mac 2022’, lapor Al-Jazeera.

Sehubungan itu, lonjakan jangkitan baharu Covid-19 di Eropah telah menyaksikan Austria kembali mengadakan perintah berkurung minggu ini, manakala Jerman dan Belanda bersedia untuk mengumumkan sekatan baharu.

Di Kesatuan Eropah, 67.7 peratus daripada populasi telah diberi vaksin sepenuhnya. Namun kadar pengambilan berbeza secara meluas antara negara-negara di Eropah, dengan negara di bahagian Timur Eropah berada pada kadar paling rendah dari segi bilangan penduduk yang sudah lengkap divaksin sebanyak dua dos.

Hanya 24.2 peratus rakyat Bulgaria diberi vaksin sepenuhnya, berbanding 86.7 peratus di Portugal, lapor pula cnbc.

Polis Belanda bertembung dengan golongan penunjuk perasaan anti-sekatan Covid-19 di Brussels pada Selasa.(FOTO AP)

Menurut data WHO, kematian berkaitan covid-19 di 53 negara di rantau Eropah meningkat minggu lalu kepada hampir 4,200 sehari, meningkat dua kali ganda daripada 2,100 kematian 

“Ia menambahkan bukti bahawa perlindungan terhadap Covid-19 hasil vaksinasi dua dos  semakin kurang  berkesan dan memerlukan kepada suntikan ketiga atau penggalak,” tambah WHO.

Sehubungan itu, beberapa negara termasuk Greece, Perancis dan Jerman sedang berusaha ke arah  pelaksanaan suntikan ketiga bagi setiap warganya sebelum masing-masing boleh  dianggap sebagai telah divaksin sepenuhnya.

Austria pula, menutup kedai, restoran dan pasar raya pada hari Isnin, sekatan paling drastik yang dilihat di Eropah Barat.

Menurut kenyataan WHO lagi, antara faktor kenapa Eropah kembali menjadi pusat wabak Covid-19  ialah kadar pengambilan vaksin yang perlahan di beberapa negara di Eropah, kemunculan varian Delta yang sangat cepat menular, cuaca yang lebih sejuk dan musim salji  serta pelonggaran sekatan di tempat-tempat awam.

Pengarah Serantau  WHO Eropah, Hans Kluge berkata, Eropah dan Asia Tengah bakal ‘menghadapi musim sejuk yang mencabar tidak lama lagi’.

Beliau menggesa pendekatan penggandaan vaksin’ yang terdiri daripada gabungan vaksinasi, penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan menjaga kebersihan diri terutama mencuci tangan.

WHO berkata,mengikut suatu kajian saintifik baru-baru ini, pelitup muka mampu mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 53 peratus, dan ‘lebih 160,000 kematian boleh dicegah (menjelang 1 Mac 2021) jika penggunaan pelitup muka dalam kalangan orang ramai mencecah 95 peratus.

Tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas di Vienna, Austria pada Selasa lepas. (FOTO AFP)

Namun, dalam keadaan sekarang ini hasrat WHO itu berdepan kesukaran ekoran bantahan daripada orang ramai yang menyaksikan negara seperti Belgium, Austria, Belanda dan pulau-pulau Caribbean di Guadeloupe dan Martinique di Perancis masih kacau-bilau dengan protes dan tunjuk perasaan membabitkan keganasan pada Selasa.

Polis Belanda menahan sekurang-kurangnya 21 orang semasa pertempuran malam keempat yang dilabelkan oleh Perdana Menteri, Mark Rutte sebagai ‘keganasan tulen’ dilakukan oleh sekumpulan ‘orang bodoh’. 

Bilangan jangkitan baharu Covid-19 di  Belanda mencecah rekod mingguan baharu pada hari Selasa, meningkat 39 peratus manakala kemasukan pesakit ke hospital dan ICU juga meningkat dengan mendadak, mendorong kerajaan untuk mewajibkan penjarakan sosial sekali lagi bagi semua orang dewasa.

Kerajaan Belanda juga telah memperkenalkan undang-undang yang akan membuka jalan untuk menyekat akses individu yang tidak divaksinasi ke tempat tertutup seperti bar, restoran dan muzium jika kes jangkitan terus meningkat. Rang undang-undang itu dijangka dibahaskan di parlimen minggu depan. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -