Peranan APM diangkat Ahli Parlimen PAS ke Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peranan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terutama dalam kitaran kerja-kerja kecemasan dilihat semakin penting yang menuntut peruntukan lebih besar disediakan kepada pasukan itu.

Ustaz Sabri Azit (PAS-Jerai) dan Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) serta Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) menyuarakan perkara itu dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Cadang Sabri, pusat pengurusan bencana bagi kegunaan pelbagai untuk APM perlu diwujudkan antaranya bagi pemantauan bencana, operasi dan latihan serta lain-lain keperluan.

“Saya juga melihat keperluan kenaikan pangkat dalam kalangan pegawai APM. Sekarang APM memainkan peranan yang sangat besar sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana. 

“Saya merasakan perlu menjadikan anggota sukarelawan APM ini ke perjawatan tetap supaya mereka dapat berperanan dengan lebih berkesan dalam operasi membantu rakyat yang memerlukan.

“Pegawai-pegawai APM di daerah bergred di bawah 41. Saya mencadangkan agar mereka ini dinaikkan kepada gred 41 ke atas. 

“Terdapat aduan yang saya terima dalam kalangan anggota APM yang pembayaran elaun mereka sering tertangguh. Seharusnya perkara ini tidak perlu terjadi kerana ke semua mereka mempunyai komitmen masing-masing. 

“Selain itu, kita mengharapkan APM ini mempunyai bangunan sendiri untuk beroperasi. Kebanyakan pejabat mereka diduduki ialah secara tumpangan dan ada yang berkeadaan daif dan tidak selamat,” kemukanya.

Turut disuarakannya adalah keperluan aset dalam menjalankan operasi antaranya pacuan empat roda kepada APM bagi memenuhi kemampuan gerak kerja dalam pelbagai bencana dan muka bumi.

Abdul Latiff yang membangkitkan situasi sama dihadapi APM di kawasannya memberitahu bahawa pasukan itu berdepan keadaan bumi berbukit-bukau dan luas, selain anggota tetap cuma tiga orang.

Beliau memohon pejabat APM secara tetap memandangkan sedia ada ketika ini disewa, selain aset seperti pacuan empat roda dan bot bagi urusan penyelamatan di kawasan tanpa jalan darat.

Che Abdullah mahu supaya kerajaan memastikan pembangunan aset APM dapat membantu melancarkan operasi menyelamat dan sebagainya yang sesuai dengan keperluan pasukan itu.

“Khusus melibatkan kenderaan pacuan empat roda selain lori bersaiz tiga tan dan bot bersaiz kecil. Selaras dengan itu juga, saya ingin bertanya, sejauh manakah kesediaan aset-aset semasa di bawah seliaan APM?

“(Terutama) bagi mempersiapkan agensi ini menghadapi ketidaktentuan cuaca dan musim tengkujuh ketika ini?” soalnya.

Tegas beliau, kesiapsiagaan daripada aspek keanggotaan dan aset oleh pasukan itu perlu diberi perhatian kementerian berkenaan. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -