Tekad bawa Kedah keluar dari kemiskinan

Perjuang sungguh-sungguh untuk jadikan Kedah kuasa ekonomi di Utara Semenanjung

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bertekad mengeluarkan negeri itu dari kemiskinan dan menjadikan Kedah muncul sebagai satu kuasa ekonomi di Utara Semenanjung.

Jelas beliau, dari hanya sebuah negeri pertanian, Kedah kini akan berusaha memperbagaikan ekonominya di mana akan dilaksanakan dengan kerja bersungguh-sungguh dan sebagai satu perjuangan.

Advertisement

Perkara itu dinyatakannya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran langsung menerusi TV1 RTM di Angkasapuri, di sini sebentar tadi.

“Syukur kepada Allah S.W.T yang telah mengurniakan rezeki yang banyaklah kepada Kedah Darul Aman daripada sebuah negeri pertanian. Dah berapa ratus tahun dah kita bergantung kepada pertanian. 

“Dan apabila ada usaha-usaha untuk keluar daripada pertanian yang sering dikaitkan dengan kemiskinan ya, kita cuba untuk mempelbagaikan sumber ekonomi kita. Alhamdulillah 16 tahun dulu ada Kulim Hi Tech Park dibuat oleh generasi awal.

Kemudian itu dilanjutkan oleh pemimpin-pemimpin selepasnya sampai zaman saya ini semua itu sudah tersedia dengan baik. Tinggal lagi untuk meneruskanlah perjuangan itu mengangkat Kedah untuk menjadi kalau boleh dikatakan satu kuasa ekonomi di Utara Semenanjung.

“Itulah satu perjuangan yang saya dan rakan-rakan di Kedah, Exco, wakil rakyat pegawai-pegawai tinggi kerajaan, kakitangan awam sedang usahakan. Itu yang kita akan buktikan bahawa Kedah pun boleh macam orang lain juga. 

Tapi kena kerja sungguh-sungguhlah, tak boleh main-main, tak boleh goyang-goyang kaki kan? Kalau nak kerja, kerja. Tak mahu kerja duduk saja, tak boleh. Ruang yang ada ini adalah satu perjuangan, satu medan perjuangan. 

“Jadi, kerja ini adalah perjuangan untuk capai apa yang kita gariskan. Semua yang disebut tadi Kedah2035 itu ada lagi 15 tahun untuk kita capai, insyaAllah kita akan buktikan Kedah boleh,” ujarnya.

Menurutnya, dengan angka pelaburan besar yang diraih masuk ke Kedah itu juga satu usaha menyediakan peluang pekerjaan supaya anak-anak negeri ini tidak perlu merantau jauh mencari pekerjaan.

Kata Sanusi, dengan peluang pekerjaan yang banyak turut akan menarik anak negeri ini kembali pulang bekerja di Kedah tanpa perlu berjauhan dan meninggalkan keluarga sebagaimana dihasratkan Sultan Kedah.

Terang beliau, bidang pekerjaan berkemahiran tinggi sedang disediakan itu juga diadakan usahasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam di Kedah dan negeri jiran agar dapat memenuhi kehendak industri dalam bidang teknikal. – HARAKAHDAILY 23/11/2021