Penubuhan CDERT tidak akan menjadi retorik

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT) tidak akan menjadi retorik Keluarga Malaysia semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata ini kerana penubuhan CDERT memberi tumpuan kepada aspek latihan.

- Advertisement -

“Mereka yang berdaftar sebagai CDERT akan diwajibkan menghadiri kursus lima hari di Pusat Pertahanan Awam di seluruh negara.

“Kemudian kita tambah dengan pertemuan setiap hujung minggu supaya kemahiran yang mereka perolehi dapat terus berpanjangan,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff meminta kerajaan menjelaskan usaha bagi memastikan CDERT tidak hanya berperanan ketika penubuhan, malah berterusan untuk jangka masa panjang dan boleh dimanfaatkan banyak pihak.

Bagaimanapun menurut Dr Abdul Latiff, ekoran pandemik Covid-19, aktiviti mingguan CDERT terpaksa dilihat kembali.

Katanya, status penubuhan CDERT yang dibuat berdasarkan undang-undang tubuh dan punca kuasa, jemaah menteri dibenarkan membuat peraturan untuk CDERT.

“Kita akan memberi bantuan kewangan dan peralatan. Saya juga minta ahli yang berhormat menjadi penaung untuk CDERT, bantu sikit-sikitlah.

“Adakah sensor juga mahu minta pada wakil rakyat? Sensor sudah ada, tetapi oleh kerana senarai tidak dibuat dalam komuniti, maka apabila bencana berlaku baru hendak cari sensor. Apabila sudah ada data ini dalam komuniti CDERT, saya pasti perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.

7 November lalu, Dr Abdul Latiff mengumumkan CDERT akan diwujudkan di semua kawasan Parlimen sebagai entiti baharu bagi menyokong bantuan kecemasan awal jika berlaku sebarang musibah.

Sehingga kini hanya 60 Parlimen belum memiliki CDERT dan semua Parlimen akan dapat memanfaatkan pasukan itu pada pertengahan tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 23/11/2021

- Advertisement -