AMPANG: Kampung Lembah Jaya Utara di Ampang di sini merupakan antara kawasan yang teruk terjejas selepas beberapa kawasan di Ampang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama hampir tiga jam lewat petang semalam.
Sumber dari Pusat Khidmat PAS Ampang berkata, sehubungan itu, Pasukan Khidmat Malaysia Ampang telah bergegas ke lokasi untuk menghulurkan bantuan termasuk pakaian.
“Petugas terdiri dari Jabatan Amal Malaysia Kawasan Ampang (JAMKA) yang membantu mangsa membersihkan kediaman mangsa dari jam 12 malam tadi. Anggota Jabatan Amal Malaysia dari kawasan lain turut hadir membantu.
“Penempatan sementara untuk mangsa banjir disediakan di dewan serbaguna berhampiran oleh Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) bersama pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),” ujar sumber berkenaan.
Sementara itu, kira-kira 258 mangsa yang terlibat akibat kejadian banjir kilat di Lembah Permai Bukit Belacan, Ampang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan MPAJ Lembah Permai setakat pukul 10.20 malam tadi, lapor Awani.
Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat, Muhammad Razif Ruba’Ai berkata, sebanyak 64 buah rumah telah terkesan ekoran banjir kilat yang berlaku sejak petang semalam.
Turut hadir bagi membantu misi menyelamat dan membantu mangsa banjir adalah Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Daeng Mohd Reduan yang menghulurkan bantuan kebersihan dan makanan.
Beberapa kawasan di Ampang teruk dilanda banjir kilat ekoran air yang melimpah dari longkang susulan dilanda hujan lebat selama hampir tiga jam lewat petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, kawasan yang terlibat ialah Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan yang dinaiki air setinggi antara 0.3 hingga meter hingga 1.5 meter akibat limpahan air dari longkang berhampiran kawasan berkenaan.
Tambah Norazam, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 7.19 malam semalam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Ampang dan BBP Pandan ditugaskan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat. – HARAKAHDAILY 23/11/2021