Kadar bantuan JKM dinaikkan ketika Bajet 2021

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kadar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan keluarga miskin di negara ini ketika ini, telah dinaikkan ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 bagi seorang kanak-kanak dengan kadar maksimum RM1,000 sebulan satu keluarga.

- Advertisement -

Katanya, BKK memberi manfaat kepada 63,184 keluarga miskin dan sebanyak RM206.3 juta peruntukan telah disalurkan setakat Ogos lalu.

“Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dinaikkan daripada RM350 kepada maksimum RM500 mengikut keperluan kes.

“BPT memberi manfaat kepada 25,835 penjaga OKU dan pesakit terlantar dan sebanyak RM106.8 juta peruntukan telah disalurkan setakat Ogos lalu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) pula dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 yang memberi manfaat kepada 83,929 OKU yang tidak bekerja dengan sebanyak RM202.5 juta peruntukan telah disalurkan setakat Ogos lalu.

Menurutnya, Elaun Pekerja OKU (EPOKU) dinaikkan daripada RM400 kepada RM450 yang memberi manfaat kepada 92,625 OKU yang bekerja dan sebanyak RM329.6 juta peruntukan telah disalurkan setakat Ogos lalu.

Katanya, Bantuan Warga Emas (BWE) pula dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 yang memberi manfaat kepada 138,214 warga emas dan sebanyak RM559.2 juta peruntukan telah disalurkan setakat Ogos lalu.

Beliau berkata, bantuan kebajikan bukan untuk menampung kos sara hidup sepenuhnya, sebaliknya untuk membantu meringankan beban kewangan yang dialami oleh kumpulan sasar untuk hidup lebih selesa dan sempurna.

“Bagi memastikan keperluan bantuan kepada penerima bantuan JKM mencukupi, kerajaan sentiasa membuat kaji semula mengenai kadarkadar bantuan yang disediakan secara berterusan. Terdapat skim bantuan baharu turut diwujudkan seiring dengan keperluan semasa,” katanya.

Selain itu, katanya terdapat kajian yang dijalankan oleh golongan akademik dengan bantuan kebajikan JKM seperti pada tahun 2017, kajian bertajuk Kajian Keberkesanan Bantuan Kewangan JKM dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).

Terkini, katanya Kajian Semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU JPM), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2019. – HARAKAHDAILY 18/11/17

- Advertisement -