PRN Melaka bawa rezeki kepada pengusaha Dobi Ibunda

MELAKA: Kecewa, risau dan takut. Itulah perasaan pengusaha Dobi Ibunda, Farah Rahimah Mohamed Rashid, 31, apabila mendapat tahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dilaksanakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas.

Farah Rahimah khuatir pelaksanaan PRN Melaka akan menyebabkan kes positif COVID-19 meningkat di negeri itu, sekali gus memberi kesan kepada perusahaan dobi miliknya yang kini dalam fasa pemulihan selepas terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Namun di sebalik kerisauannya itu, terselit hikmah apabila perkhidmatan dobi yang diusahakan bersama suami Abdul Ghani Ab Aziz, 31, itu tidak putus-putus mendapat pelanggan dalam kalangan petugas PRN Melaka terutama media kakitangan kerajaan.

“Memang nampak peningkatan pendapatan dalam tempoh PRN Melaka ini terutama bermula awal November… pendapatan agak berganda… sehari kami boleh dapat RM700 hingga RM800, saya anggap ini rezeki PRN.

“Sebelum ini nak dapat RM100 sehari pun susah. Syukur alhamdulillah. Kadangkala saya terpaksa tolak pelanggan kerana terlalu banyak baju yang hendak dicuci terutama mereka yang inginkan cucian ekspres,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Jalan Tasik Utama di sini hari ini.

Farah Rahimah yang merupakan bekas guru TESL di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur berkata rata-rata pelanggan menghantar baju untuk dicuci memilih perkhidmatan ekspres yang mengambil masa sehari dengan caj RM5 sekilogram berbanding cucian biasa yang mengambil masa tiga hari pada kadar RM3.50 sekilogram.

Ibu kepada tiga anak itu berkata permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan ekspres dan cucian biasa turut memberi rezeki kepadanya apabila mampu membeli sebuah lagi mesin basuh berharga lebih RM2,000.

“Kita juga sedia mengambil dan menghantar pakaian pelanggan dari rumah atau hotel dalam jarak lingkungan lima kilometer dari premis dobi dengan caj tambahan sebanyak RM5,” katanya yang mempunyai keseluruhan enam mesin termasuk pengering baju bagi membantunya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Katanya, walaupun gembira mendapat pendapatan yang tinggi dalam tempoh itu, aspek keselamatan terutama pencegahan jangkitan COVID-19 masih menjadi keutamaannya ketika mengurus pakaian pelanggan yang dihantar kepadanya.

Farah Rahimah yang telah mengusahakan dobi tersebut sejak 10 tahun lepas berkata sebagai contoh pakaian pelanggan yang dihantar untuk diseterika sahaja akan dicuci terlebih dahulu walaupun baju itu bersih sebagai langkah awal pencegahan jangkitan COVID-19 dan caj cucian tersebut akan dikenakan.

“Pernah berlaku sebelum ini, ada pelanggan yang menghantar PPE untuk dicuci tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada saya… sangat terkejut apabila membuka bungkusan pakaian yang dihantar kerana pada saya ada cara untuk mengurus PPE dan saya tidak menyediakan perkhidmatan cucian PPE,” katanya.

Beliau berkata selain itu, seorang pekerja sambilan yang diambil bekerja tiga kali seminggu di kedainya akan disaring menggunakan ‘Rapid Test Kit Antigen’ sebagai langkah awal pencegahan penularan jangkitan COVID-19. – BERNAMA