P-hailing wajib carum PERKESO sejak 1 Oktober

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Individu bekerja sendiri yang terlibat dalam bidang p-hailing diwajibkan berdaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Ini selaras pewartaan Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman bagi Orang yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan) 2021 melalui P.U.(A) 372 bertarikh 21 September lalu.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata melalui kaedah itu, jaminan keselamatan sosial terhadap golongan Orang yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan akan lebih terpelihara dan terjamin.

“Mana-mana orang bekerja sendiri (OBS) yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dalam perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan diwajibkan mendaftar dan mencarum bermula 1 Oktober lalu.

“Ia melalui mana-mana pelan caruman pilihan disediakan mengikut Akta 789 (Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017) bermula dengan pilihan pelan caruman bernilai RM157.20, RM232.80, RM442.80 atau RM592.80 bagi tempoh perlindungan selama setahun,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dato’ Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai ketetapan untuk tidak mewajibkan individu terbabit dengan bidang p-hailing mencarum PERKESO pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Awang berkata, strategi dan usaha berterusan sentiasa diambil perhatian kerajaan bagi meningkatkan caruman skim perlindungan PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan, terutama bagi individu terbabit dalam bidang p-hailing dan e-hailing.

Beliau berkata, antaranya mengadakan sesi libat urus dan turun padang membabitkan agensi kerajaan, platform penyedia perkhidmatan ekonomi gig, persatuan, pertubuhan dan sebagainya di seluruh negara.

“Sebagai contoh kolaborasi bersama dengan kerjasama penggiat seni, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Malaysia,” katanya.

Di samping itu, katanya pihaknya bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan individu yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dalam bidang p-hailing dan e-hailing terus dilindungi.

Beliau berkata, antaranya peruntukan Belanjawan Negeri Terengganu sebanyak RM200,000 setiap tahun mulai 2018 hingga 2021 bagi menaja caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, penghantar makanan Ganushop dan beca

Kata Awang, melalui penajaan ini telah memanfaatkan seramai 1,000 orang rakyat di negeri tersebut yang terbabit dalam perusahaan berkenaan.

Selain itu, katanya PERKESO mengadakan memorandum persefahaman bersama beberapa agensi kerajaan dan platform penyedia perkhidmatan bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada OBS.

“Wakil jabatan, agensi atau kesatuan dilantik sebagai Ejen Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri mengikut ketetapan dalam terma dan syarat bagi maksud pungutan dan penerimaan bayaran caruman.

“Ejen berkenaan juga bertanggungjawab melaksanakan aktiviti promosi, publisiti dan pemudah cara bagi tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/21

- Advertisement -