Melaka perlu jadi model teraju perubahan dalam PRN

- Advertisement -

MELAKA: Rakyat Melaka perlu menjadi model kehadapan dalam meneraju perubahan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, rakyat Melaka memerlukan perubahan polisi kepimpinan yang berintegriti selain kepimpinan yang memberi fokus kepada rakyat.

- Advertisement -

“PAS memang terkenal antara parti yang sangat rapat dengan permasalahan rakyat, semasa waktu musibah atau rakyat perlukan bantuan.

“PAS bersama dalam Perikatan Nasional (PN) menentang amalan rasuah, salahguna kuasa dalam apa jua urusan pentadbiran,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, pada Selasa.

Justeru itu katanya, PRN Melaka adalah masa terbaik untuk rakyat Melaka melakukan perubahan ke arah kepimpinan yang bebas rasuah, lompat parti serta tindakan yang memenuhi agenda peribadi dan sebagainya.

Katanya, PAS bersama Perikatan Nasional berhasrat untuk membina negara sejahtera dengan fokus keluarga bahagia dan bebas amalan nagatif dengan membina masyarakat harmoni ke arah generasi gemilang.

Amalan negatif itu katanya seperti ketagihan judi, ketagihan arak dan masalah moral yang menjejaskan keharmonian keluarga, perceraian, penderaan keluarga dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -