Malaysia tiada masalah bekalan tenaga

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menghadapi masalah bekalan tenaga seperti yang dialami sesetengah negara di Eropah, China dan India hingga mencapai tahap krisis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Eddin Syazlee Shith, berkata krisis di negara terbabit disebabkan peningkatan permintaan ke atas gas asli bagi menghadapi musim sejuk serta kenaikan mendadak harga gas asli dan arang batu.

- Advertisement -

Sebagai contoh, katanya harga arang batu yang pada awal tahun ini sekitar AS$80 satu tan, melonjak sehingga AS$200 satu tan pada Oktober lalu, namun sekarang telah mula stabil, walaupun masih tinggi, iaitu pada paras AS$150 satu tan pada 5 November lalu.

Katanya, jumlah bekalan tenaga di Malaysia disumbangkan oleh gas asli (41 peratus), minyak mentah (30 peratus), arang batu (22 peratus) dan hidro serta sumber tenaga boleh dibaharui lain (7 peratus).

“Alhamdulillah, negara kita berada dalam keadaan yang baik kerana sumber penjanaan elektrik negara telah berjaya dipelbagaikan, iaitu arang batu (47 peratus), gas asli (41 peratus) dan tenaga boleh dibaharui termasuk hidro (12 peratus),” katanya menjawab soalan lisan Tan Kok Wai (PH-Cheras) di Dewan Rakyat, hari ini.

Eddin Syazlee berkata, rizab margin kapasiti terpasang elektrik di Semenanjung Malaysia juga tinggi, iaitu sebanyak 38 peratus, manakala kapasiti terpasang adalah kira-kira sebanyak 27 ribu megawatt, berbanding permintaan maksimum sebanyak 19 ribu megawatt.

Katanya, antara usaha yang sedang kerajaan lakukan adalah melalui penggubalan Dasar Tenaga Negara (2021 – 2040) dan Pelan Hala Tuju Gas Asli (2021 – 2040) yang kini sedang dalam proses untuk dimuktamadkan bersama semua pihak berkepentingan.

“Dasar Tenaga Negara (DTN) bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga, mencapai kesaksamaan dan sosial, serta memastikan kelestarian alam sekitar, selari dengan pertimbangan dalam trilema tenaga iaitu jaminan bekalan, kemampuan untuk membayar dan kelestarian alam sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/21

- Advertisement -