754 aktiviti kesedaran alam sekitar di seluruh negara

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berjaya mengadakan sebanyak 754 aktiviti kesedaran alam sekitar melalui inisiatif Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) di seluruh negara membabitkan capaian terhadap 255,172 orang.

Timbalan Menterinya, Dato’ Mansor Othman, berkata aktiviti kesedaran itu yang dijalankan secara berterusan melibatkan pelbagai pihak, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan masyarakat.

- Advertisement -

Katanya, kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga mengadakan pelbagai program berkaitan alam sekitar yang meliputi pelbagai kumpulan sasaran.

“Mereka termasuk pemimpin masyarakat, kanak-kanak, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, institusi industri dan swasta, badan bukan kerajaan, orang awam dan agensi kerajaan,” katanya ketika penggulungan perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mansor berkata, antara program utama JAS adalah Rakan Alam Sekitar yang kini mempunyai 157,348 ahli, manakala program Sekolah Lestari disertai sebanyak 1,025 sekolah.

Menurutnya, sebanyak 3,083 hebahan berkaitan kesedaran alam sekitar melalui media massa dan media sosial juga telah dilaksanakan.

Katanya, JAS komited meneruskan kempen kesedaran selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) khusus yang telah ditetapkan sebagai penanda aras pencapaian program kesedaran jabatan. – HARAKAHDAILY 16/11/2021. 

- Advertisement -