Penyakit jantung iskemik kekal penyebab utama kematian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyakit jantung iskemik (ischaemic heart diseases) kekal menjadi penyebab utama kematian di Malaysia pada 2020 dengan merekodkan 18,515 kematian daripada keseluruhan 109,155 kematian disahkan secara perubatan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penyakit berkenaan menjadi sebab kematian utama di negara ini lebih dua dekad lepas apabila merekodkan peningkatan daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada 17 peratus pada 2020, melibatkan 12,7907 atau 68.6 peratus kematian dalam kalangan lelaki manakala 5,808 atau 31.4 peratus wanita.

- Advertisement -

“Ia menjadi sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana Bumiputera (16.6 peratus), Cina (16.0 peratus) dan India (22.8 peratus).

“Di peringkat negara ASEAN, penyakit jantung iskemik juga menjadi sebab kematian utama bagi Singapura, Thailand dan Filipina. Trend sama turut dicatatkan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, United Kingdom dan Australia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata amalan gaya hidup dan pengambilan makanan tidak sihat adalah antara penyumbang kepada kematian disebabkan penyakit jantung iskemik pada masa kini.

“Ini disokong oleh kenyataan daripada Kementerian Kesihatan iaitu Malaysia dikategorikan sebagai bukan negara sihat berdasarkan kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan rakyat yang masih berada di tahap rendah yang mana kadar pesakit jantung dan obesiti agak tinggi.

“Dapatan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiditi 2019 (NHMS), menunjukkan kadar kandungan gula, tekanan darah dan kolestrol tinggi adalah faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit jantung,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata penyakit jantung iskemik juga menjadi sebab kematian utama di 92 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi dicatatkan di Kampar, Perak dengan 3.3 peratus.

Selain itu, beliau berkata pneumonia menjadi sebab kematian utama di 32 daerah pentadbitan dengan peratusan tertinggi dicatatkan oleh Pakan, Sabah (19.9 peratus).

Sementara itu, beliau berkata serebrovaskular direkodkan sebagai sebab kematian utama di 14 daerah manakala hipertensi pula direkodkan di empat daerah dan penyakit kronik saluran pernafasan di satu daerah.

“Dari segi kumpulan umur, sebab kematian utama bagi mereka berumur 0-14 tahun dan 15-40 tahun adalah kemalangan jalan raya dengan masing-masing pada kadar 3.0 dan 16.8 peratus.

“Selain itu, penyakit jantung iskemik adalah sebab kematian utama bagi kumpulan umur 41-59 tahun (20 peratus) dan 60 tahun ke atas (18 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kematian disebabkan Covid-19 adalah sebab kematian baharu dilaporkan pada 2020 iaitu sebanyak 471 kematian atau 0.3 peratus daripada 166,507 kematian.

“Sabah merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 265 kematian manakala Terengganu merekodkan kematian terendah dengan satu kematian,” katanya.

Katanya, di peringkat negara ASEAN, tiga negara mencatatkan kematian akibat Covid-19 tertinggi (seperti pada 31 Okt 2021) iaitu Indonesia dengan 22,138 kematian, Filipinan (9,244) dan Myanmar (2,682).

Di peringkat negara maju, tiga negara mencatatkan kematian disebabkan Covid-19 tertinggi adalah Amerika Syarikat (AS) dengan 351,754 kematian, United Kingdom (73,622) dan Kanada (15,762). – BERNAMA

- Advertisement -