RUU AGS dibentang selewat-lewat 16 Dis ini

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) bacaan kali pertama akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat, selewat-lewatnya 16 Disember 2021.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (white bill) serta persetujuan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri.   

- Advertisement -

“Proses semakan RUU adalah satu proses yang perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Noorita Sual (PH-Tenom)  pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini, yang meminta kementeriannya menyatakan komitmen kerajaan di dalam memperkenalkan RUU AGS dan apakah garis masa akta tersebut akan dibentangkan. 

Siti Zailah berkata, pada masa ini kes-kes gangguan seksual ditangani melalui akta dan peraturan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Kerja 1995 (Akta 265), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792). 

Sementara itu, beliau memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sedang membangunkan Modul Intervensi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja untuk kegunaan Pegawai Psikologi atau Kaunselor Organisasi dalam mengendalikan kes gangguan seksual di tempat kerja. 

Kata Siti Zailah, kementeriannya terutama melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sedang giat mengadakan program-program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai gangguan seksual supaya dapat mengelakkan perlakuan tersebut daripada terus berleluasa sama ada secara fizikal, visual atau lain-lain bentuk. 

“Pada tahun ini sehingga Jun 2021, sebanyak 53 program kesedaran telah dilaksanakan oleh JPW dengan penglibatan seramai 11,367 peserta di seluruh negeri,” ujarnya.

Menurut Siti Zailah lagi, kementeriannya mendapat maklumat bahawa agak kurang laporan gangguan seksual dilaporkan kepada pihaknya. 

Beliau berkata, mengikut laporan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), hanya 775 kes yang dilaporkan setakat ini. 

“Saya ada statistik kes yang dikendalikan di bawah Kanun Keseksaan sehingga 2021 melibatkan Seksyen 354 iaitu 474 kes, Seksyen 377D sebanyak 35 kes, Seksyen 509 ada 266 kes, jadi semuanya 775 kes, ini laporan daripada PDRM, “ katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Noorita.

“Sekiranya ada isu berkaitan gangguan di tempat kerja dan sebagainya, jangan dipendam, perkara ini mesti dilaporkan, kalau tidak dilaporkan, sudah tentu pihak berwajib tidak dapat ambil tindakan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -