Promosi TVET rentasi kementerian

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Usaha menjadikan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) pertanian sebagai satu pilihan golongan remaja bukan hanya melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetapi turut melibatkan kementerian lain.

Timbalan Menteri Pendidikan 2, Dato’ Mohamad Alamin berkata, sebagai contohnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai badan pemasaran pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), sudah dimasukkan mediumnya ke dalam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kolej Universiti Islam Pahang.

- Advertisement -

Malah katanya, di peringkat sekolah juga disediakan beberapa modul khusus untuk sektor pertanian.

“Ini adalah usaha kita tetapi banyak lagi kementerian lain juga menjalankan usaha yang sama. Saya yakin dengan usaha-usaha yang ada ini akan mampu untuk mengangkat sektor pertanian menjadi salah satu yang diminati oleh golongan anak-anak muda pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Dato’ Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta menyatakan perancangan kementerian untuk remajakan pendidikan vokasional pertanian di peringkat sekolah supaya selaras dengan perkembangan teknologi semasa di Dewan Rakyat pada hari ini.

Dalam pada itu Mohamad berkata, KPM turut melaksanakan aktiviti jerayawara dan hebahan di seluruh negara, menggiatkan program kesedaran dan jangkauan serta kempen bersama pelbagai pihak untuk mempromosikan TVET sebagai pilihan utama.

“Antara strategi yang telah dilaksanakan adalah seperti mempromosi kejayaan lepasan TVET KPM dalam bidang pekerjaan atau yang telah menjadi usahawan berpendapatan tinggi melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube serta media cetak dan elektronik,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -