KeTSA jamin bekalan tenaga negara tidak terjejas

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan sekuriti bekalan tenaga elektrik di negara ini tidak akan terjejas berikutan krisis tenaga global membabitkan pembekalan arang batu dan gas, ketika ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Ali Biju berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pembekal arang batu kepada penjana kuasa bebas di Malaysia mempunyai kontrak jangka panjang bagi pembekalan arang batu dengan pihak pembekal.   

- Advertisement -

Sementara, gas bagi penjanaan elektrik pula dibekalkan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang mendapat bekalan daripada pelbagai sumber. 

“Sekuriti tenaga elektrik di Malaysia juga tidak terjejas memandangkan sektor penjanaan elektrik negara telah mempelbagaikan campuran bahan api. 

“Ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api, gas dan arang batu dengan menggunakan sumber penjanaan tenaga boleh baru seperti solar, hidro dan ‘medium fuel oil’

“Kepelbagaian campuran bahan api penjanaan ini bertindak sebagai sekuriti, sekiranya terdapat sebarang kekangan terhadap salah satu sumber penjanaan,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai kedudukan jaminan bekalan elektrik negara, susulan krisis tenaga global serta langkah diambil kerajaan. 

Ali berkata, kerajaan sudah meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan Semenanjung bagi tempoh 20 tahun untuk memastikan bekalan elektrik sentiasa mencukupi. 

Menurut beliau, pelan berkenaan dirangka berdasarkan pelbagai kriteria, antaranya kadar rizab margin yang optimum di antara 25 hingga 30 peratus dan kadar jangkaan kehilangan beban, sebanyak 24 jam setahun. 

Kadar itu, katanya, menunjukkan jangkaan bilangan jam setahun, iaitu sistem bekalan elektrik negara tidak dapat memenuhi permintaan, selain kepelbagaian sumber bahan api bagi mengelak kebergantungan penjanaan negara kepada bahan api tertentu sahaja. 

“Pelan ini turut dirangka dengan menyeimbangkan elemen jaminan bekalan, kelestarian dan mampu bayar. 

“Ini bermakna, pembekalan elektrik di Malaysia bukan sahaja menitikberatkan elemen kecukupan bekalan semata-mata, tetapi turut mengambil kira faktor kelestarian tenaga serta tarif munasabah kepada pengguna,” ujarnya. 

Tambah beliau, bagi memastikan pelan itu kukuh dan stabil, TNB sedang melaksanakan Projek Talian Penghantaran 500kV dari utara hingga selatan Semenanjung yang akan menjadi tulang belakang Sistem Grid Nasional.

“Pelaksanaan projek 500kV ini akan mengoptimumkan penghantaran elektrik kepada pengguna di seluruh Semenanjung dan memastikan mereka mendapat bekalan elektrik berdaya harap,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -