Judi: Adun PH bukan Muslim tidak sokong langkah Kedah

- Advertisement -

SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Langkah kerajaan negeri tidak memperbaharui dan mengeluarkan lesen premis judi di Kedah tidak disokong Adun Pakatan Harapan (PH) yang bukan beragama Islam.

Bagaimanapun pembangkang beragama Islam menyokong langkah kerajaan negeri tersebut.

Mohd Azam Abdul Samat (PAS-Sungai Limau) berkata, pengumuman yang dibuat Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam wajar disambut baik semua pihak.

- Advertisement -

“Tindakan ini merupakan satu langkah yang baik demi memastikan kesejahteraan rakyat memandangkan arak dan judi membawa pelbagai masalah sosial,” katanya pada persidangan Dun Kedah hari ini.

Menurutnya juga beliau dan Adun Bakar Arang, Ooi Tze Min pernah berbahas hal terbabit ketika Kedah diterajui Barisan Nasional (BN).

Katanya pengumuman kerajaan negeri tersebut sebagai usaha menegakkan makruf dan membanteras kemungkaran.

Bagaimanapun Dato’ Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra) agak sinis dengan langkah kerajaan negeri itu, dengan melontarkan pertanyaan adakah ia akan menjadikan Kedah untuk masyarakat Muslim sahaja.

Malah wakil DAP Tan Kok Yew (Derga) meminta kerajaan negeri mengemukakan data bagi membuktikan aktiviti perjudian mengakibatkan keruntuhan institusi keluarga.

Semalam Sanusi pada sidang media mengumumkan, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak akan mengeluarkan lesen premis judi di negeri itu.

Manakala penjualan arak turut dikawal kepada hanya masyarakat bukan Islam sahaja.

Langkah kerajaan Kedah juga dibantah Dewan Perhimpunan Cina Kedah dengan menganggap keputusan kerajaan negeri tidak selaras dengan kerajaan Persekutuan.

Kelantan tidak mengeluarkan lesen premis perjudian sejak awal 1990-an, biarpun pada peringkat awal dibantah pelbagai pihak. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -