Wira-wira yang tidak dikenali

- Advertisement -

MUKTAMAR PAS Pusat tahun ini akan berlangsung di Kuala Terengganu. Tetapi untuk kali kedua berturut-turut, program tahunan tersebut akan dianjurkan secara hybrid. Ini bermakna majoriti perwakilan akan mengikuti Muktamar ini secara langsung di negeri masing-masing.

Muktamar PAS Pusat boleh dianggap sebagai program kemuncak tahunan bagi PAS. Ia adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh sama ada pimpinan di peringkat tertinggi mahupun ahli-ahli biasa di peringkat akar umbi.

Sejak dewan besar Markas Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar siap dibina pada pertengahan tahun lapan puluhan, kompleks bersejarah itu sering menjadi tuan rumah kepada Muktamar tersebut. Walaupun tuan rumah kepada acara ini diselang-seli dengan negeri-negeri, namun Taman Melewar menyimpan banyak kenangan bagi ahli-ahli. Setiap ahli memiliki cerita masing-masing.

- Advertisement -

Mereka akan datang dari jauh dan dekat, dari kampung dan bandar, dari hulu dan kuala dan dari gunung dan lembah. Muktamar bukan hanya untuk para pimpinan dan perwakilan sahaja tetapi ahli-ahli biasa akan hadir dari awal pagi hingga lewat petang untuk mendengar dengan tekun ucapan dan perbahasan.

Sepanjang tempoh Muktamar, Taman Melewar akan bertukar menjadi ‘Bandaraya PAS’. Gerai-gerai didirikan dan bermacam-macam jenis jualan ditawarkan kepada para pengunjung. Bagi mereka yang mahu menjamu selera, terdapat pelbagai jenis makanan yang dihidangkan. 

Muktamar bukan sekadar program politik semata-mata tetapi ia juga merupakan program sosial dan program ekonomi. Di situlah tempatnya untuk bertemu kawan-kawan dari seluruh negara. Tempat kawan lama berjumpa setelah lama terpisah. Di situlah juga tempatnya para peniaga atau pengusaha memperkenal dan memasarkan produk mereka. Terdapat ramai juga usahawan di kalangan ahli-ahli PAS.

Muktamar adalah gelanggang bagi ahli-ahli untuk mengecas semula bateri perjuangan mereka. Ramai yang merasakan tidak sah jika tidak menjejakkan kaki di Taman Melewar. Mereka datang dari jauh dan dekat di atas inisiatif sendiri, membelanjakan duit mereka sendiri. Tidak ada bas disediakan dan tidak ada hotel mewah menunggu mereka seperti parti-parti lain. Tidak ada juga duit belanja disediakan untuk membeli-belah malah mereka perlu menghulur apabila tabung-tabung diedarkan.

Inilah kehebatan ahli-ahli PAS yang dicemburui oleh lawan dan dikagumi oleh kawan. Mereka yang memusuhi terpaksa memperlekeh dengan melemparkan pelbagai label seperti ‘walaun’ atau ‘parti tin Milo’ semata-mata untuk menyedapkan hati mereka yang cemas melihat komitmen ahli-ahli PAS. Jauh di dalam lubuk hati mereka, mereka juga kagum dengan komitmen tersebut.

Apabila PAS berada di dalam kerajaan dan masih memungut derma untuk memasuki pilihan raya, ada yang cuba menghasut ahli-ahli PAS. Kononnya kenapa perlu memungut derma apabila telah berada di dalam kerajaan. Saya yakin mereka faham terdapat perbezaan di antara duit kerajaan dan duit parti. Saya yakin mereka juga tahu PAS tidak akan ‘mencuri’ duit kerajaan seperti yang dilakukan oleh orang lain. Provokasi ini berlaku kerana mereka mahu memadamkan ‘semangat infaq’ ahli-ahli. Supaya usaha-usaha PAS itu gagal. Tetapi usaha mereka adalah sia-sia.

Tidak ramai yang akan termakan dengan hasutan mereka. Ahli-ahli PAS menyertai perjuangan ini bukan kerana mengejar matlamat-matlamat dunia. Ini yang susah hendak difahami oleh mereka yang asing kepada perjuangan PAS. Ahli-ahli sanggup menginfaqkan harta benda mereka, mengorbankan kerjaya mereka, mendedahkan diri mereka kepada ancaman atau melalui pelbagai kepayahan dan kesusahan semata-mata kerana mahu melihat Islam dihormati, mahu melihat Islam memerintah bukan diperintah dan dipijak-pijak bagaikan surat khabar buruk. Walaupun perjalanannya jauh namun mereka redha dan terus istiqamah.

Majoriti dari ahli-ahli tidak mendapat apa-apa pangkat, jawatan atau habuan kewangan apabila PAS berjaya membentuk kerajaan. Bagi mereka yang terjun ke dalam arena politik untuk ‘harta dan takhta’, kesungguhan ahli-ahli PAS seperti ini tidak akan dapat mereka fahami. Ahli-ahli yang tidak menerima walaupun satu sen elaun atau tidak mendapat walaupun jawatan JKKK merupakan asas yang kukuh yang memungkinkan mereka di atas berdiri tegak. Seperti sebuah bangunan jika asas ini goyang maka runtuhlah bangunan. Mereka yang nama-namanya tidak disebut-sebut itu adalah wira yang sebenar.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/11/2021

Sumber Asal:  https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4833180743367551/

- Advertisement -