Kerajaan cadang pinda Akta Harta Pusaka Kecil

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) dijangka membolehkan penilaian keseluruhan harta pusaka si mati ditingkatkan dari RM2 juta kepada kepada RM5 juta.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, berkata usaha sedang dilakukan untuk membuat pindaan akta itu yang turut membolehkan peluasan bidang kuasa harta pusaka kecil meliputi semua jenis harta.

- Advertisement -

Selain itu, katanya pindaan itu membolehkan pembahagian harta tidak lagi tertakluk kepada syarat si mati mesti meninggalkan harta tidak alih seperti sedia ada melalui pindaan Seksyen 3 Subseksyen 3(2) akta itu.

“Bagaimanapun, jika ada pertikaian khusus orang Islam yang melibatkan isu dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah akan diambil kira dalam isu tersebut,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang menyatakan apakah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dapat mempercepatkan proses pindah milik, pembatalan dan daftar nama di geran tanah setelah mendapat perintah daripada Mahkamah Syariah kerana terdapat proses hak pindah milik tertangguh sehingga bertahun untuk diselesaikan.

Ali berkata, Bahagian Pembahagian Pusaka di bawah JKPTG bertanggungjawab menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka kecil melibatkan harta pusaka orang Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa berhubung proses pindah milik, pembatalan dan pendaftaran nama di geran tanah yang melibatkan pembahagian pusaka bagi si mati yang meninggal dunia.

Dalam konteks pendaftaran turun milik akibat kematian, katanya Pendaftar Hak Milik perlu merujuk kepada Seksyen 346 Kanun Tanah Negara.

Katanya, mana-mana tanah atau bahagian atau kepentingan dalam tanah yang menjadi harta pusaka si mati, bagi tujuan pendaftaran, Pendaftar Hak Hilik hendaklah merujuk hanya kepada Perintah atau Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengikut Akta 97 atau JKPTG mengikut Akta 98.

“Seksyen 421A Kanun Tanah Negara memperuntukkan dalam perkara dan kuasa mahkamah yang dinyatakan adalah termasuk Mahkamah Syariah. Antara bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah melibatkan pengeluaran sijil faraid, pengesahan nasab, pengesahan wasiat dan hibah dan harta sepencarian,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Azit, katanya Perintah Anggapan Kematian (PAK) merupakan dokumen penting dalam permohonan pusaka, iaitu jika kematian seseorang tidak dapat dibuktikan dalam sijil kematian, maka PAK perlu dikemukakan.

“Oleh kerana pengurusan pembahagian pusaka kecil menggunakan peruntukan undang-undang sivil, maka hanya PAK yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya PAK yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah adalah bagi tujuan memberi kebenaran isteri kepada individu yang hilang tersebut untuk berkahwin lain.

“Sebarang pengesahan kematian si mati yang tidak mempunyai bukti kematian perlu mendapatkan perintah perundangan sivil, iaitu melalui perintah deklarasi Mahkamah Tinggi yang diperolehi berdasarkan Seksyen 108 Akta Keterangan 1956 dengan syarat selepas tujuh tahun tidak ketidaktahuan individu tersebut, sama ada masih hidup atau meninggal dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/21

- Advertisement -