Berdoalah, walau sedang dalam kesulitan

- Advertisement -

DI DALAM Islam, kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan doa kerana kemustajaban yang ada dalam doa itu sendiri.

- Advertisement -

Dalam suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, beliau berkata: Nabi S.A.W bersabda:

‎إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ أَنْ يَرْفَعَ إِلَيْهِ يَدَيْهِ فَيَرُدَّهُمَا صِفْرًا

“Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Pemurah. Allah malu sekiranya hamba-Nya mengangkat tangan berdoa kepada-Nya sedangkan Dia membiarkan hamba-Nya pulang dengan kekosongan.”

[Hadis Riwayat Abu Daud (1488), Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan Hadis ini sahih]

Disebut juga bahawa antara golongan yang dimakbulkan doanya adalah doa orang yang menderita kesusahan dan kesakitan. Firman Allah S.W.T:

‎أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ

 “Siapa lagi selain Allah yang mampu memakbulkan doa orang yang menderita ketika kesusahan lalu dilenyapkan kesusahan itu.” 

(al-Naml: 62)

Ibnu Allan menjelaskan mengapa doa orang sakit lebih mustajab adalah: 

“Kerana orang sakit termasuk orang yang terdesak. Dan doanya lebih cepat diperkenan daripada yang lainnya.”

[Rujuk: Al-Futuhat al-Rabbaniyyah, Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 4/92].

Justeru, marilah kita memperbanyakkan doa walau apa pun ujian yang menimpa kita.

Terkadang, mungkin Allah S.W.T tidak memberi terus apa yang kita doakan kerana Dia gantikan dengan sesuatu yang kita lupa. Terkadang, Dia gantikan dengan pengampunan dosa-dosa kita, dan terkadang Allah jadikan doa itu untuk mengangkat darjat kita. Ingatlah, doa itu adalah zikir yang mendekatkan kita kepada-Nya.

YB USTAZ DATO’ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 3/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=436951537991892&id=100050311487174

- Advertisement -