Pengundi anak muda dibimbangi tiada sentimen parti

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PORT DICKSON: Perubahan landskap politik negara dengan pengumuman kerajaan melaksanakan pendaftaran automatik 5.6 juta pengundi baru berusia 18 tahun memberi cabaran besar kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kehadiran golongan terbabit agak membimbangkan di mana ada dalam kalangan mereka ada sentimen tidak mahu terlibat dengan parti.

- Advertisement -

Selain itu, katanya mereka tidak mahu ada ikatan dengan mana-mana dasar yang diperjuangkan mana-mana parti politik.

“Manakala anak muda di institusi pengajian tinggi (IPT) pula didapati sudah bosan dengan kerenah politik.

“Kita menjangka situasi dengan cabaran pandemik, ia akan menimbulkan satu kesenjangan dalam sistem politik negara kita. Perkembangan itu akan dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-62 di Corus Paradise Resort di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin; Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, Pemuda PAS perlu mengembleng usaha untuk memupuk semangat golongan tersebut kekal dan istiqamah bersama dasar perjuangan Islam.

“PRN Negeri Melaka bakal menjadi kayu ukur bagi mengetahui kepekaan golongan yang kini berada di Institusi Pengajian Tinggi terhadap isu-isu politik yang berlaku serta masa depan kepimpinan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -