Dewan Ulamak kawasan gambarkan momentum gerak kerja ulama

- Advertisement -

SEREMBAN: Setelah sekian lama perbincangan bagi memartabatkan keberadaan para ulama dengan menubuhkan Dewan Ulamak PAS kawasan, kini usaha berada di fasa akhir bagi menyempurnakan penubuhan dewan itu di seluruh negara dan perlu digiatkan secara berterusan dan tidak boleh terhenti.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Nawawi Salleh berkata, terdapat di beberapa kawasan belum berkemampuan mewujudkan dewan tersebut.

“Namun jangan sesekali berhenti usaha menghimpunkan para ulama yang ada sehinggalah berjaya menubuhkan Dewan Ulamak PAS kawasan pada masa akan datang,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-60 di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Senawang, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, penubuhan Dewan-Dewan Ulamak PAS kawasan akan menggambarkan momentum gerak kerja kalangan para ulama dengan lebih tersusun dan berfokus bagi membantu malah membimbing gerak kerja perjuangan Islam di peringkat akar umbi yang lebih dekat bersama masyarakat.

“Dalam menjayakan penubuhan Dewan Ulamak PAS kawasan ini secara menyeluruh memerlukan tenaga yang digemblengkan daripada semua pihak. Maka ulama teras bersama Ulama Pelapis dan Alimat perlu dihimpunkan bersama.

“Saya mengharapkan menjelang tahun 2022 nanti penubuhan Dewan Ulamak PAS kawasan dapat dijayakan semaksimum mungkin di seluruh kawasan-kawasan di Malaysia ini termasuklah di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada kawasan-kawasan yang telah berjaya menubuhkan Dewan Ulamak.

“Semoga dengan tertubuhnya Dewan Ulamak PAS kawasan ini, gerak kerja secara teliti dalam menghimpunkan para asatizah, alim ulama dan para tuan guru di kawasan masing-masing berjaya seterusnya akan membantu kemenangan kepada gerak kerja Islam, insya-Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh.

Beliau turut memetik hadis Rasululullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan  dengan  penuh teliti.” (Riwayat al-Tabarani dan al-Baihaqi)

“Sama-sama kita mendoakan agar kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa memperjuangkan agama Allah sehingga akhir hayat tanpa rebah dengan ujian dan halangan serta penipuan musuh kuffar dan musuh politik kita,” katanya.

Menurutnya, Allah telah menjanjikan bahawa golongan itu akan sentiasa ada dalam perjuangan Islam. – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -