Muslimat perlu depani cabaran kehadiran pengundi 18 tahun

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Muslimat digesa memperteguh serta memperkukuhkan institusi rumah tangga untuk menghalang kecelaruan akidah yang sengaja dilakukan musuh Islam supaya dapat ditangkis.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tragedi bunuh diri, penceraian serta lain-lain sejak kebelakang ini memerlukan pengukuhan aqidah agar permasalahan itu dapat diatasi.

- Advertisement -

Menurutnya, perkara itu merupakan perkara besar yang perlu diteliti memandangkan sekarang umat Islam berhadapan dengan cabaran media terbuka.

“Kesesatan akidah juga dipengaruhi dengan media terbuka yang tanpa kawalan. Oleh itu perlu diteliti samada dari sudut dalaman mahu pun luar kerangka parti,” kata beliau ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke 61 secara atas talian hari ini.

Katanya juga tanggungjawab besar penerimaan pengundi 18 tahun juga harus didepani oleh muslimat sebagai satu cabaran memandangkan bermula 1 Januari 2022, 5.8 juta pengundi pengundi baharu akan menjadi cabaran besar terutama dalam konteks pilihan raya.

“Cabaran institusi keluarga yang begitu longgar dewasa ini ekoran masalah kewangan akibat pandemik Covid-19 dan lain-lain perlu ditangani dan diberi perhatian dengan baik.

“Perkasa dan perkuatkan cawangan-cawangan PAS walaupun muafakat politik yang menjadi mekanisma pilihan raya PAS perlu mempunyai kekuatannya sendiri.

“Sungguhpun kita berbangga dengan kekuatan di Kelantan, Terangganu, Kedah dan sebahagian Perlis namun di zon tengah dan selatan perlu diperluaskan lagi,” jelasnya.

Justeru itu katanya melalui muafakat politik kini menjadikan PAS sebahagian daripada kerajaan, namun parti itu sendiri perlu mempunyai kekuatan sendiri yang bukan sahaja melibatkan cawangan dan ahli teramai, namun strategi berkesan dan tuntas.

Selain itu muslimat tambahnya perlu mengambil perhatian dan cakna kepada pembentangan belanjawan di parlimen yang meletakkan syarat kepada semua syarikat di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) wajib terdiri dalam kalangan wanita.

Ini katanya juga cabaran kepada muslimat untuk memastikan mengangkat teknokrat dari kalangan wanita mengisi permintaan dan syarat tersebut.

Tuan Ibrahim turut optimis menggesa agar muslimat mempersiapkan beberapa perkara termasuk calon muslimat serta memberi perhatian kepada muslimat muda.

“Kemasukan pengundi baharu juga perlu diberi perhatian kepada muslimat muda. Oleh itu kekuatan yang sedia ada pada muslimat iaitu Gen3 (Ameerah, Nusaibah dan Briged) perlu digembeling bersama,” kata beliau.

Beliau tidak lupa mengingatkan cabaran yang hadapi PAS ekoran menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan sekarang.

Menurutnya juga peranan wakil PAS di dalam kerajaan membuktikan kebolehan pemimpin parti itu untuk mengurus dan mentadbir negara dan negeri.

Oleh itu PAS perlu bersedia membanyakkan ahli parlimen dari kalangan wanita dan diyakini kemampuan muslimat sekiranya diberi peluang.

Pada ucapan itu beliau turut menarik perhatian perwakilan terutama dari Sabah dan Sarawak agar siap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kemungkinan akan berlaku selepas PRN Melaka.

Oleh itu beliau berharap gerak kerja terutamanya di Sabah dan Sarawak digerak secara lebih luas lagi.

Muslimat juga perlu menguasai media baru memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN akan datang tidak lagi seperti sebelumnya dan dilakukan secara di atas talian.

Sejarah PRU ke-14 lalu perlu diambil iktibar apabila musuh berjaya menguasi media baharu dan akhirnya fitnah terhadap PAS dipercayai dan diterima pengundi.

“Muslimat perlu menguasai medan ini dengan kepakaran yang ada serta menjana pelapis untuk menguasai media baharu tersebut.

“Bantulah agama Allah dengan medan yang kita ada sekarang. Perwakilan agar terus bertaqwa kepada Allah, istaqamah dengan program jemaah dan menjalinkan hubungan bersama isteri-isteri pemimpin.

“Selain itu tidak lupa mendoakan rakan-rakan yang diuji Allah dengan positif Covid-19 agar mereka sihat kembali,” ujarnya.

Sempena muktamar tersebut Timbalan Presiden PAS turut menyempurnakan pelancaran TV Wanita Sejahtera Dewan Muslimat PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -