Pemuda PAS ‘Memacu Perpaduan’

Ucaptama Ketua Pemuda Muktamar Dewan Pemuda PAS Kali Ke-62

- Advertisement -

TERIMA kasih Saudara Pengerusi Majlis,
Yang dihormati Tuan Pengerusi Tetap,
Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden PAS, merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air Perasmi Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62,
Yang Berhormat Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas,
Yang Berbahagia Ustaz Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah,
Yang Berusaha Saudara Mohd Nadzim Ahmad Azmi Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Pengarah Muktamar,
Urusetia Panitia Muktamar,
Tuan Rumah Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan,
Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Malaysia,
Rakan-rakan Muafakat Nasional, Perikatan Nasional dan pelbagai parti lain,
Dif-dif kehormat dan para tetamu,
Rakan-rakan media,
Para pemerhati daripada PAS Pusat dan pemerhati atas talian,
Para perwakilan yang dirahmati Allah sekalian.

- Advertisement -

Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Anfal: 61-63:

۞ وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ ﴿ ٦١ ﴾

وَإِن یُرِیدُوۤا۟ أَن یَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِیۤ أَیَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِینَ ﴿ ٦٢ ﴾ 

وَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِی ٱلۡأَرۡضِ جَمِیعࣰا مَّاۤ أَلَّفۡتَ بَیۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَیۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ ﴿ ٦٣ ﴾ 

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui [61] Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin [62] dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. [63]””

(al-Anfal: 61-63)

Marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah ‘Azza Wa Jalla, dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya, kita mewarisi nikmat iman dan Islam sehingga ke hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Nabi Muhammad S.A.W, seluruh ahli keluarga dan Sahabat R.A.

Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum dan selamat datang para perwakilan, pemerhati dan tetamu ke Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 bagi tahun 2021. Penganjuran muktamar pada tahun ini diadakan secara hibrid iaitu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan juga dipancarkan secara maya di seluruh negara.

Pertama, izinkan saya merakamkan secara rasmi dan istimewa dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Kali Ke-62 ini, ucapan sekalung penghargaan dan tahniah kepada watak-watak penting yang sedang mengurus ‘unprecedented crisis’ COVID-19 di Malaysia. Sesungguhnya peranan dan pengorbanan mereka sangat signifikan buat kita semua.

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob Perdana Menteri Malaysia Kesembilan,
YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Md Yassin Bekas Perdana Menteri Malaysia,
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara,
Barisan Menteri dan Timbalan Menteri PAS,
Seluruh Kakitangan Kerajaan,
Barisan Hadapan,
Aktivis pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan semua yang terlibat membantu rakyat,
Kita mendoakan agar Allah S.W.T mengurniakan seluas ganjaran di dunia dan di akhirat atas semua kebaikan yang dilakukan selama ini.

Tema Muktamar: Memacu Perpaduan

Kita membingkaikan Muktamar Pemuda PAS pada tahun ini dengan mengangkat tema ‘Memacu Perpaduan’. Tema ini menzahirkan aspirasi Pemuda PAS untuk berjiwa negarawan dan menjadikan agenda wehdah sebagai faktor kritikal dalam peralihan spektrum politik abad ke-21 yang semakin kompleks dan dinamik.

Kita sedang memberdayakan reformasi negara menuju fasa endemik. Pertumbuhan pasca COVID-19 bukan hanya dengan merangka pemboleh ubah ekonomi sahaja, malah lebih utama ialah membina kerukunan perpaduan rakyat merentas kaum dan agama. Persoalannya, bagaimana merencana perpaduan dalam kemajmukan bangsa?

Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS telah menggagaskan tiga (3) prinsip utama penyatuan rakyat Malaysia. Pertama ialah Islam Memimpin. Kedua, rakyat Malaysia sebagai sebuah keluarga besar. Ketiga, keadilan untuk semua. Semua prinsip ini diekstrak daripada tujuan penubuhan PAS seperti termaktub pada Fasal 5, Perlembagaan PAS iaitu; Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah

Perjuangan PAS jelas. Dasar PAS ialah Islam dan seruan PAS ialah Allahu Akbar. Perjuangan PAS tidak apologetik dan pragmatik. Prinsip dan pendekatan PAS disuluh daripada cahaya al-Quran dan as-Sunnah. Keabsahan perjuangan PAS tidak wajar dikompromi dengan kepentingan sempit dan tidak menguntungkan.

Para perwakilan yang dirahmati Allah sekalian,

Prinsip Islam Memimpin adalah berpandukan kepada firman Allah di dalam Surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud;

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kamu (wahai umat Muhammad S.A.W) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

Prinsip rakyat malaysia sebagai satu keluarga yang besar pula berpandukan kepada firman Allah di dalam Surah An-Nur ayat 1 yang bermaksud;

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Manakala prinsip keadilan untuk semua adalah berpandukan firman Allah di dalam Surah An-Nisa ayat 58 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Misi besar ini mesti bermula dengan keinsafan terhadap peri pentingnya memupuk perpaduan dalam Islam. PAS tetap konsisten melapangkan dada mengajak Umno dan BERSATU serta pemegang taruh yang lain seperti NGO dan NGI Islam menerima prinsip perpaduan ini. Di samping itu, Pemuda PAS memainkan peranan yang besar sebagai ejen keharmonian kaum bagi menghubungkan PAS dengan parti-parti, NGO dan NGI bukan-Islam. Justeru, Pemuda PAS mesti terus mempertahan misi ini dan bersedia memacu perpaduan dalam ruang yang lebih luas lagi.

Geo-ekonomi-politik dunia

1. Ukhuwwah Islamiyah merentas sempadan.

Palestin dan nasib negara umat Islam seluruh dunia mesti sentiasa diarusperdanakan. Pemuda PAS mesti bersikap pro-aktif mengikuti perkembangan semasa negara-negara umat Islam agar lebih arif terhadap survivaliti ummah terutama yang melibatkan rangkaian strategik Gerakan Islam.

DPPM telah merintis langkah penyatuan ummah dalam kalangan pemuda Islam Nusantara dengan penganjuran program bersama bertemakan perjuangan Palestin. Satu diskusi dalam talian telah disusun menampilkan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Parti Keadilan Sejahtera Muda, Ustaz Umar Salim.

Resolusi yang dipersetujui adalah menamakan lima orang wakil daripada kedua-dua pihak untuk menganggotai jawatankuasa penyatuan ummah. Diharapkan agar hasrat ini terus direalisasikan bagi merancakkan usaha kesatuan pemuda Islam Nusantara. Gagasan penyatuan ummah telah melewati gugusan Nusantara.

2. Taliban dan Emiriah Islam Afghanistan.

Perkembangan mutakhir menyajikan penguasaan Taliban di Afghanistan. Setelah 20 tahun dicengkam imperialis Amerika, rakyat telah memberi sokongan terhadap Taliban. Rakyat muak dengan kebejatan rasuah dan kegagalan pelaksanaan kanun Syariah oleh kerajaan.

Apa yang membingungkan, tatkala negara umat Islam masih terkial-kial, China telah mengambil kesempatan mengadakan rundingan diplomasi peringkat tertinggi antara Menteri Luar, Wang Yi dengan Naib Ketua Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar. China menyalurkan dana berbilion ringgit untuk mengukuh Belt and Road Initiative (BRI) di Afganistan.

Apakah dasar luar Malaysia terhadap Afganistan di bawah pemerintahan Taliban? Pemuda PAS mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia untuk memula dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan pemerintahan Taliban. Ini berasaskan track-record Malaysia yang mempunyai skil diplomatik aras tinggi dan diyakini mampu mengakomodasi penerimaan komuniti antarabangsa terhadap Afganistan melalui prinsip tadbir urus yang inklusif dan kesyumulan Islam.

Konflik berterusan tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan segelintir ‘military- industrial-complex’ yang dahagakan darah demi tembolok mereka sahaja. Jika China Komunis boleh menghulurkan tangan kepada Afghanistan di bawah Taliban, mengapa tidak kita sebagai saudara se-Islam?

3. Perang Dingin Amerika Syarikat-China.

Persaingan kuasa dwipolar antara Amerika dan China secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap wilayah kedaulatan negara di Laut China Selatan. Tanpa menghiraukan desakan antarabangsa, Amerika tetap meneruskan usaha modenisasi kapasiti perang dan mewujudkan fraksi baharu AUKUS bersama United Kingdom dan Australia.

Sementara itu, Presiden Joe Biden juga telah melancarkan inisiatif Build Back Better World yang bernilai RM160 trilion. Objektif inisiatif ini adalah untuk mengimbangi jurang pelaburan China dan rantaian pasaran dunia. Tindak-tanduk negara-negara ini dijangka tidak akan mempengaruhi dasar berkecuali negara dalam memastikan Zon Asia Tenggara yang Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Khusus bagi isu di wilayah Laut China Selatan, seperti yang termaktub di dalam ucaptama Memimpin Negara, Pemuda PAS wajar meneruskan cadangan yang tertangguh kerana Proklamasi Darurat untuk menjalin kerjasama strategik dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk menjadi sebahagian tenaga penting bagi mendukung semangat mempertahankan kedaulatan negara.

4. Pandora Papers.

Kita amat kesal dengan pendedahan pemilikan kekayaan luar biasa segelintir kapitalis yang memiliki akaun luar persisir dan culas menjalankan tanggungjawab membayar cukai kepada negara masing-masing. Dianggarkan lebih kurang RM40 trilion nilai cukai yang digelapkan di seluruh dunia.

Orang kaya bertambah kaya, orang miskin melarat melata. Pemuda PAS tetap tidak akan berkompromi terhadap apa jua jenayah kewangan sama ada rasuah, korupsi, penggubahan wang haram dan aktiviti ekonomi hitam. Malah, lebih menjengkelkan timbunan wang ringgit ini dijadikan candu memperalatkan orang politik.

Apa yang diharapkan ialah agar beberapa episod geo-ekonomi-politik dunia ini akan menajamkan fikrah Pemuda PAS untuk berempati mengenai masa depan umat Islam. Kita akan lebih cerdas mencari jalan untuk memainkan peranan yang lebih penting.

Inovasi pentadbiran dan politik Pemuda PAS

Dinamika politik menuntut daya fikir yang kreatif dan tindakan yang inovatif. PAS telah menakhoda zaman dengan mengemukakan cadangan Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Teknokrat dan Negara Berkebajikan sebagai solusi kepada penyelesaian krisis yang dihadapi negara pada waktu tersebut.

Pemuda PAS menterjemahkan banyak pendekatan inovatif dalam organisasi dan politik. Setiap tindakan yang diambil harus mengambil kira kepentingan Islam dan kemaslahatan rakyat.

1. Inovasi pentadbiran Pemuda PAS.

a. Inovasi kaedah pendanaan.

Alhamdulillah, Pemuda PAS telah mengaplikasi kaedah perolehan atas segala pembekalan yang diperlukan khususnya dalam sektor pendidikan bagi melestarikan kewangan dan mengurangkan dependensi sumber pendapatan Pemuda PAS daripada PASTI. Secara tidak langsung, ia mampu mengekalkan keuntungan PASTI, menambah pendapatan SRITI/SMITI dan memberi keuntungan lebih RM1 juta kepada Pemuda PAS dalam tempoh setahun.

b. Inovasi pengurusan kebajikan guru-guru PASTI

Alhamdulillah, bagi menjaga kebajikan para guru dan pembantu PASTI, Pemuda PAS telah mendaftar dan mencarum PERKESO bagi memberi perlindungan sosial dan mengenang pengorbanan mereka mendidik generasi Islam. Selain itu, ia turut memberi nilai tambah kepada kerjaya meskipun berkhidmat sepenuh masa bersama PAS.

2. Inovasi luaran.

a. Inovasi pendekatan politik.

Susulan kedudukan semasa PAS dalam kerajaan, Pemuda PAS mengambil ‘leverage’ dengan pendekatan lautan biru dan memimpin muafakat anak muda sehingga peringkat nasional. Alhamdulillah, Pemuda PAS telah diberi amanah untuk mengetuai Pemuda Perikatan Nasional. Pengiktirafan ini diharap dibuktikan dengan pelbagai tindakan untuk menggamit sokongan anak muda menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

b. Inovasi pendekatan kesukarelawanan.

Alhamdulillah, Jabatan Amal Malaysia telah melakar sejarah baharu kerana berjaya mengumpul 5,351 menerusi program Amal Mega Blood Donation dan diberi pengiktirafan oleh Pusat Darah Negara. Jabatan Amal dan aktiviti sukarelawan sangat signifikan dengan kerelevenan Pemuda PAS.

c. Inovasi pendekatan media.

Alhamdulillah, Pemuda PAS telah mengikis sikap skeptikal dan menyah prejudis masyarakat serta pengamal media terhadap perjuangan PAS. Banyak ruang diberi kepada pemimpin Pemuda PAS untuk mengartikulasi naratif secara langsung bersama rakyat menerusi saluran Awani, Sinar dan BERNAMA.

d. Inovasi pendekatan demokrasi bermusyawarah.

Alhamdulillah, Pemuda PAS sentiasa mengadakan sesi libat urus dan rundingan bagi menyelesaikan isu rakyat. Pemuda PAS mengutamakan solusi berbanding kesumat dan maslahah berbanding mudarat. Kita tidak lagi melayan politik tidak berkesudahan yang akhirnya merugikan rakyat.

Banyak kertas solusi dicadangkan kepada pihak berkepentingan menerusi Institute for Policy Studies DPPM seperti:
(1) Konsep Pembangunan Industri Komposit Negara, 
(2) Keselamatan Makanan: Di manakah Malaysia?,
(3) Pembangunan Polisi Penyalahgunaan Alkohol Kebangsaan,
(4) Pelan Tindakan Kementerian Pengangkutan dalam Membanteras Kesan Penyalahgunaan Alkohol di Jalan Raya, 
(5) SOP Pekerja Offshore
(6) Pengangguran Belia: Solusi Pasca COVID-19, dan 
(7) Sustainable Forestry in Kelantan.

Cadangan-cadangan ini sebahagiannya telah dilaksanakan oleh kerajaan, manakala yang lain masih di peringkat penelitian untuk tindakan lanjut. Kertas solusi ini boleh di muat turun di laman web Jabatan Profesional Pemuda PAS Malaysia https://jrpo.org.my/kertas-polisi-ips/

Penjenamaan semula ekonomi anak muda

Laporan Tenaga Buruh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan kadar pengangguran belia menyusut daripada 12.5 peratus pada suku kedua 2020 kepada 11.0 peratus dalam tempoh yang sama tahun 2021. Kita optimis pengurangan kadar ini disebabkan oleh pembukaan semula sektor ekonomi, penambahan peluang pekerjaan dan program ‘reskilling dan upskilling’.

Melalui perbahasan Titah Diraja dan RMK12 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Pemuda PAS juga telah melontarkan beberapa cadangan konstruktif untuk mengurus isu pengangguran, ketidakpadanan pekerjaan dan kebolehpasaran golongan belia. Cadangan tersebut antaranya ialah, menaik taraf sektor pendidikan teknikal dan vokasional, wakaf pembangunan start-up belia, insentif pengecualian cukai perniagaan belia dan intensifikasi ‘social enterprise’ belia tempatan.

Faktor permasalahan peningkatan kadar pengangguran belia di Malaysia antaranya adalah disebabkan masalah ketidakpadanan antara graduan dan industri. Pemuda PAS telah membincangkan cabaran ini dengan pihak Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Kerjasama rentas kementerian bersama pemain industri sangat diperlukan termasuk semakan semula silibus pengajian agar kekal relevan, praktikal termasuk penekanan aspek ‘soft skills’ dan ‘cognitive skills’. Kemandirian mahasiswa juga ditekankan agar belia lebih berani mencipta pekerjaan dan mengambil peluang atas setiap masalah yang berlaku.

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM28 bilion bagi membiayai pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah. Sasaran negara adalah melahirkan seramai 60,000 pemegang ijazah kedoktoran atau 0.2 peratus populasi rakyat menjelang 2023. Jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jerman, United Kingdom, Sweden dan Denmark, jumlah pemegang ijazah kedoktoran di negara mereka sekitar 1 hingga 2 peratus daripada populasi. Menyahut cabaran ini, kita mahu 3,000 Pemuda PAS berstatus ijazah kedoktoran dalam pelbagai bidang pada tahun 2030.

Seiring dengan kepesatan Revolusi Industri 4.0 yang mengubah struktur ekonomi dan teknologi negara, Pemuda PAS tampil mencadangkan agar kerajaan membangunkan Pusat Kecemerlangan Belia dan Industri Masa Hadapan. Pusat ini sebagai inkubator untuk melahirkan lebih ramai belia berkemahiran tinggi dan meningkatkan partisipasi aktif mereka dalam penggunaan teknologi termaju.

Kita mahu juga Pusat Kecemerlangan Belia dan Industri Masa Hadapan ini didesign menjadi pusat sehenti, rumah kelab dan ‘sandbox’ untuk mendapatkan akses digital, pendedahan teknologi termaju dan hackaton dalam kalangan anak muda. Anak muda sangat aktif menggunakan internet. Mereka yang digelar ‘digital natives’ menggunakan sebahagian besar waktu hariannya berinteraksi dengan internet dan peranti digital. Semoga usaha ini menatijahkan hasil yang besar terhadap masa depan negara.

Kesan paling membimbangkan akibat pandemik ialah kelesuan spiritual dan mental anak muda. Kita mengalu-alukan pembukaan semula sektor ekonomi tetapi kita sama sekali tidak boleh mengabaikan pemulihan semula ketahanan jiwa anak muda. Justeru, usaha merajah kembali efikasi atau kemujaraban kendiri anak muda perlu diutamakan. Usaha bersepadu wajar digarap secara komprehensif agar nilai kepemudaan berada pada neraca keseimbangan dan kestabilan hidup sebenar.

Perubahan landskap politik negara

Landskap politik negara berubah secara drastik. Pendaftaran automatik pengundi baru berusia 18 tahun (Undi 18) merupakan ‘game changer’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15. Jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang. Daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun berjumlah 1.2 juta orang, manakala 4.4 juta orang lagi adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas. Mereka layak mengundi tetapi tetapi tidak berdaftar sebagai pemilih.

Sekretariat Pengundi Muda (SPM) yang menggabungkan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dewan Muslimat PAS Pusat dan Dewan Ulamak PAS Pusat bertanggungjawab merangka dan melaksanakan inisiatif Undi 18. Tindakan ini turut akan dilakukan oleh rakan-rakan komponen Pemuda Perikatan Nasional.

Tawaran baharu Pemuda PAS yang dipakejkan dengan elemen politik dakwah perlu berani mencabar status quo, keluar daripada kebiasaan silo dan eksklusif. Apa yang mesti diperkenalkan ialah inklusiviti dan perkongsian pintar. Kita juga harus mengkaji dengan teliti politik identiti golongan Undi 18 agar tawaran yang diberikan tepat dan betul.

Selain itu, Pemuda PAS termasuk ulamak muda dan muslimat muda mesti membariskan bakat-bakat pemimpin, membina jaringan strategik dan mencipta peluang baharu. Pesona kepimpinan harus seiring dengan idea dan maudhu’ perjuangan. Norma baharu politik sangat berbeza dengan konvensional. Jika kita lambat bertindak, bimbang akan ketinggalan.

Persiapan menghadapi PRU15

Pemuda PAS mesti mentransformasi pemikiran dan tingkah laku. PAS adalah komponen Kerajaan Persekutuan. Justeru, Pemuda PAS perlu menerajui solusi bagi menangani masalah rakyat bersama kerajaan. Kita mesti agresif merakyatkan inisiatif Kerajaan Prihatin dan Keluarga Malaysia kepada rakyat. ‘Feel good factor’ rakyat kepada kerajaan mesti dibina dan diperkukuhkan.

Tugas utama kita adalah untuk turun ke lapangan sebagai rijalud-da’wah dan rijalud-daulah. Menceritakan dasar-dasar Islam, perspektif dan pendirian PAS serta memastikan segala bantuan yang disediakan oleh kerajaan dinikmati oleh rakyat. Kita adalah mediator bukan provokator. 

Empat persiapan Pemuda PAS mendepani PRU15:

1. Persiapan spiritual yang kukuh. Hubungan vertical iaitu hablu- minallah perlu diperkasa dari masa ke semasa.
2. Persiapan jentera yang kompeten di semua peringkat. Wajib hadir ke sesi penerangan isu semasa, latihan dan kursus ILPAS.
3. Persiapan pengundi. Kenal pasti ‘circle’ anak muda termasuk anak ahli dan penyokong PAS. Buat pengesahan maklumat dan profil. Bina ‘rapport’ yang sesuai dan interaktif.
4. Persiapan aktiviti. Tugas hakiki untuk menyantuni anak muda yang pelbagai latar, kecenderungan dan identiti.

Media Sosial adalah platform wajib penyampaian maklumat dan program PAS. Sebagai usaha mempersiap kapasiti, Pemuda PAS perlu sentiasa menganjurkan program kemahiran mengoptimakan fungsi media sosial dengan berkesan.

Mencetak kepimpinan Pemuda PAS

Alhamdulillah, Pemuda PAS tidak pernah ketandusan kepimpinan muda berwibawa. Kepimpinan muda mesti lahir dari kepompong tarbiah dan proses kaderisasi yang sistematik bagi memastikan organisasi kita diurus dengan cara paling efektif. Akademi Tarbiah (AKTAR) dan Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) adalah tonggak yang membenihkan pemimpin pemuda PAS masa hadapan.

Tarbiyah adalah DNA penting Pemuda PAS. Ia adalah ‘core value’ kita. Kita diasuh daripada peringkat awal relung Manhaj Tarbiyah PAS. Objektif tarbiyah adalah untuk melahirkan ahli PAS yang faham, ikhlas dan rela berkorban demi perjuangan. Hadirkan diri di setiap aktiviti tarbiyah mengikut marhalah yang ditentukan.

Aktiviti dakwah dengan pendekatan lebih menarik dan versatile mesti diperkasakan. Sering kali kita abaikan dakwah fardiah. Walhal, itu adalah medium berkesan dalam mengenali hati budi mad’u. Begitu juga dengan ‘dakwah bil hal’. Akhlak dan adab mesti ditonjolkan untuk menancapkan jiwa-jiwa mad’u.

Sebagai Pemuda PAS, terdapat tujuh kualiti kepimpinan yang perlu dibina sebagai jenama Pemimpin pemuda Islam iaitu:

[1] Keikhlasan (sincerity)
[2] Kesetiaan (loyalty),
[3] Kepercayaan (trust), 
[4] Ketahanan (resilience), 
[5] Kesungguhan (determination), 
[6] Kedinamikan (unparallel dynamism
[7] Kesepaduan (coherence)

Penutup

Memacu Perpaduan adalah teras orientasi Pemuda PAS. Meski diuji mehnah ujian, insya-Allah, teruslah tsabat di atas jalan ini. Rakyat menanti idea dan khidmat kita semua. Selagi mana keyakinan kita utuh terhadap janji Allah dan Rasul, janganlah hati berkeluh kesah dan sugul. Bergembiralah dengan kemenangan di dunia dan di akhirat. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Maidah ayat ke-54;

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.”

Ayuh, bekalkan diri dengan amalan harian kita sebagai seorang Rijalud-da’wah dan Rijalud-daulah!
Ayuh, aktifkan jentera pilihan raya di semua peringkat.
Ayuh, gandingkan minda dan tenaga untuk membina Pemuda PAS dan memacu kemenangan lebih besar dalam PRU Ke-15.

“Memacu Perpaduan”

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -