Pertikaian F-35: Erdogan, Biden jangka bincang di Glasgow

Erdogan tekad mahu mengadakan perbincangan dengan Biden berhubung isu pertikaian F-35 di ketika menghadiri COP26 di Glascow, Scotland pada 31 Oktober ini. - FOTO AFP
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dijangka mengadakan perbincangan mengenai isu pertikaian jet pejuang buatan Amerika Syarikat (AS), F-35 ketika kedua-dua pemimpin negara itu menghadiri Persidangan Perundingan Iklim ke-26 (COP26) yang dijadualkan berlangsung di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November ini.

Erdogan berkata, beliau menjangka akan mengadakan perbincangan berkenaan dengan Biden bagi merungkai pertikaian kedua-dua negara selepas Washington bertindak menyingkirkan Ankara daripada program jet pejuang F-35 pada tahun 2019, ekoran tindakan Ankara membeli sistem pertahanan udara canggih buatan Rusia, S-400.

- Advertisement -

Tindakan Ankara itu telah memuktamadkan perjanjian Turki dan Rusia selepas Washington cuba mengekangnya, atas risiko ia bakal menjejaskan pakatan ketenteraan Barat memandangkan Ankara merupakan sekutu Washington dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dan Washington berpendapat bahawa S-400 tidak sesuai dengan sistem NATO.

“Kemungkinan besar saya dan Joe Biden akan mengadakan perbincangan di Glasgow. Isu paling penting antara kami ialah mengenai isu pertikaian F-35,” kata Erdogan kepada media sekembalinya dari lawatan ke Azerbaijan, hari ini, menurut laporan Al-Jazeera.

Erdogan berkata,Turki sedang berusaha untuk mendapatkan semula kos pembayaran AS$1.4 bilion yang telah dibuat negara itu sebelum ia disingkirkan daripada program F-35, dan AS mencadangkan untuk menjual pesawat pejuang, F-16 kepada Turki bagi menampung bayaran semula kepada negara itu.

Turki berhasrat untuk mendapatkan semula bayaran sebanyak AS$1.4 bilion yang telah dibuat kepada Amerika Syarikat untuk program F-35. – FOTO AFP

“Turki sudah membuat pembayaran mencecah AS$1.4 bilion untuk program F-35. Kami perlu membincangkan bagaimana pembayaran semula  itu boleh dilakukan,” tegas Erdogan.

Kenyataan media Erdogan itu dibuat beberapa hari selepas pemimpin Turki itu menarik semula ugutan yang dibuatnya untuk mengusir duta AS dan sembilan negara Barat lain dari Turki atas sokongan mereka terhadap Osman Kavala, seorang aktivis dan dermawan yang dipenjarakan di negara itu.

Terdahulu, Erdogan dan Biden antara pemimpin ternama dunia yang telah disahkan bakal menyertai COP26, namun Kremlin Moscow pula mengesahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak akan hadir pada persidangan yang akan membincangkan mengenai krisis iklim global, khususnya impak pemanasan kesan rumah hijau terhadap masa depan bumi itu. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

- Advertisement -