Muka lama kekal terajui PAS kawasan di Kelantan

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
PAS Tumpat berusaha melebarkan semangat kasih sayang dan mempertautkan kiambang selepas berlaku pertandingan pada mesyuarat agung PAS kawasan itu, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, beliau membuat keputusan melantik kembali pemimpin yang tewas pada pemilihan tersebut untuk bersama bekerja memantapkan PAS kawasan berkenaan.

- Advertisement -

Katanya pada mesyuarat khas pertama PAS Tumpat selepas Mesyuarat Agung tahunan 19 Oktober lalu, pemimpin yang tidak menang dilantik sebagai ahli jawatankuasa kawasan berkenaan.

“Saya melantik Adun Pengkalan Kubor, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat sebagai senarai ahli jawatankuasa pertama yang dilantik pada mesyuarat tersebut.

“Pelantikan itu bersama tujuh lagi pemimpin yang dikemukakan saya sendiri selaku Yang Dipertua PAS kawasan, kemudian diterima sebulat suara oleh ahli-ahli mesyuarat,” katanya di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, mesyuarat tersebut juga melantik Che Din Mustapha sebagai Setiausaha PAS Tumpat, manakala jawatan-jawatan lain serta lajnah akan ditentukan kemudian.

Pada pemilihan sempena mesyuarat agung tersebut Wan Roslan turut bertanding bagi jawatan Yang Dipertua (YDP).

Manakala jawatan lain iaitu Timbalan YDP kini diterajui Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan naib YDP Ropein Hassan. 

Sementara itu sebahagian besar kepimpinan PAS di peringkat kawasan di Kelantan kekal diterajui muka lama kecuali Ketereh sekarang diterajui Dato’ Sr Azmi Mohd Nor.

Timbalan Yang Dipertua PAS Ketereh pula Wan Rohaimi Wan Daud dan Naib Yang Dipertua Cikgu Sabri.

Di Pengkalan Chepa Yang Dipertua Dato’ Mohd Amar Abdullah, timbalannya Dr Izani Husin dan Naib YDP Ahmad Fathan Mahmood. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

- Advertisement -