Situasi politik negara menuntut PAS jadi pendamai

- Advertisement -

BACHOK: Situasi politik dalam negara sekarang ini telah memaksa PAS untuk bertindak sebagai pendamai atau muslih dalam agenda penyatuan ummah yang melibatkan orang Melayu dan Islam selain tidak mengabaikan orang bukan Islam.

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Hassan Mohamood berkata, meskipun usaha itu dilihat tidak semudah yang disangka namun pihaknya tetap bersabar dan tabah kerana ganjaran yang dijanjikan Allah sangat besar.

Menurutnya lagi, dalam usaha untuk memastikan kerajaan pusat yang ada sekarang ini terus kekal memerintah, ahli serta pendukung PAS pelu lebih bijaksana dan cermat bagi berhadapan dengan pelbagai situasi.

- Advertisement -

“Pendekatan yang diambil oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah perlu dijadikan contoh dengan sebaik mungkin, baginda lebih bersikap bersederhana dalam menentukan sikap melalui perjanjian tersebut.

“Nampak pada zahirnya baginda mengalah, namun hakikatnya memberi keuntungan besar kepada Islam sehingga terbuka Kota Makkah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Kelantan ke-50, hari ini.

Majlis yang diadakan di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Kampung Badak di sini turut menyaksikan barisan kepimpinan sayap utama Badan Perhubungan PAS Kelantan itu dikekalkan bagi tempoh dua tahun akan datang.

Ustaz Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tawang berkata pihaknya turut maklum mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membenarkan individu 18 tahun ke atas mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau berkata, berlaku peningkatan jumlah pengundi yang mendadak pada semua kawasan parlimen dan dun seluruh negara yang memerlukan Dewan Ulamak sebagai sayap penting PAS merangka tindakan untuk menghadapinya.

Dewan Ulamak PAS Kelantan juga disaran untuk menguasai media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya kerana kehidupan golongan belia tidak pernah lekang dengan penggunaan telefon pintar.

“Maka kita perlu pastikan pengundi muda yang akan mengundi nanti benar-benar memberi sokongan mereka kepada kita, antara cabaran besar kita ialah bagaimana kita hendak menarik mereka untuk bersama kita.

“Antaranya memperkasakan gerakan dakwah kepada generasi muda, pastikan golongan yang terdekat dahulu didedahkan kepentingan Islam memerintah, menganjurkan aktiviti yang lebih mesra remaja sebagai pendekatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2021

- Advertisement -