SMITI penuhi permintaan warga Putatan

- Advertisement -

Oleh  NURSAM MOHAMMAD

PUTATAN: Dewan Pemuda PAS Putatan telah mewujudkan Jabatan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) bagi menyahut harapan besar warga setempat yang mahu anak-anak mereka belajar dalam aliran sistem sekolah menengah berteraskan Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Putatan, Yusrizal Anuar berkata, sebelum ini banyak cadangan dan permintaan telah dibuat oleh masyarakat di sini yang mahukan sekolah menengah berkonsepkan integrasi Islam untuk pembelajaran anak-anak mereka, sebagai alternatif baharu kepada sekolah menengah harian biasa. 

- Advertisement -

“Seperti kita sedia maklum, setiap tahun kuota kemasukan ke sekolah menengah agama di bawah Kementerian Pelajar Malaysia (KPM) sentiasa tidak mencukupi.

“Kami telah membuat beberapa soal kaji selidik melibatkan ibu bapa di sini (Putatan). Ramai daripada mereka berharap anak-anak mereka dapat dimasukkan ke dalam sistem pembelajaran sekolah menengah berteraskan agama,” ujarnya kepada HarakahDaily, di sini, hari ini.

Menurutnya, SMITI adalah pelengkap kesinambungan pembelajaran agama daripada Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) dan sebelumnya, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah seliaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

“SMITI juga memberi peluang kepada lepasan sekolah rendah agama lain dalam kawasan Parlimen Putatan atau sekitarnya.

“Sebelum ini, kita sudah ada Sekolah Agama Negeri (SAN), selain sekolah-sekolah rendah agama lain di Putatan seperti Pusat Pendidikan Islam An-Nur (PPIAN),” jelasnya.

Tambah beliau, SMITI juga bakal membuka ruang kepada pelajar-pelajar aliran Al-Quran, Tahfiz mahupun sistem pengajian Thurat di pondok-pondok yang berminat memasuki sistem pembelajaran peringkat menengah berbentuk integrasi.

Sehubungan itu katanya, SMITI juga diharapkan dapat mendidik anak-anak muda di Putatan  dengan acuan Islam, dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain dalam membina pelapis kepimpinan, serta menjadi pusat melahirkan tenaga-tenaga dakwah dan ulama.

“Akhirnya, kita berharap dapat menawarkan peluang pendidikan berteraskan Islam di peringkat sekolah menengah kepada anak-anak warga Putatan, sekali gus menyedia dan melaksanakan kurikulum bersepadu dan berintegrasi meliputi akademik, diniah dan tahfiz,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/10/2021

- Advertisement -