Pematuhan SOP kempen, petunjuk rakyat keluar mengundi

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

- Advertisement -

SEMASA rencana ini ditulis pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum lagi mengeluarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pada Isnin 18 Oktober lepas sewaktu SPR membuat sidang media berkaitan proses perjalanan PRN ini menyatakan bahawa perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

Banyak juga perkara berkaitan dengan perjalanan PRN ini yang diumumkan SPR pada sidang media itu yang tidak menunjukkan akan wujudnya perbezaan yang jelas antara PRN Melaka berbanding PRN Sabah.

Yang pertama penulis menjangkakan masa berkempen mungkin dipanjangkan dengan andaian kemungkinan ada SOP kempen yang ketat menyebabkan kekangan berkempen. Jadi kerana kekangan itu, masa yang lama diperlukan untuk berkempen. Atau kita panggil ‘biar lambat asal selamat’.

Namun masa berkempen yang ditetapkan SPR pada sidang media itu hampir sama dengan kebiasaan iaitu selama 12 hari. Sangkaan penulis meleset.

Yang kedua penulis menjangkakan hari membuang undi akan dipanjangkan berbanding satu hari seperti kebiasaannya. Penulis menjangkakan mungkin berlanjutan hingga dua hari bagi mengelakan kesesakan di pusat pengundian. Ia juga meleset.

Cuma yang nampak berbeza sedikit ialah lanjutan masa mengundi sehingga jam 5.30 petang berbanding sehingga jam 5.00 petang pada kebiasaannya. Namun hanya setengah jam sahaja tambahan masa.

Kita juga tidak dapat menafikan bahawa rakyat sangat gusar dan marah apabila PRN ini berlaku. Bukan marah pada SPR, tapi marah kepada ahli-ahli politik yang menyebabkan krisis politik ini berlaku.

Sebab itu kita bimbang tidak ramai pengundi yang akan keluar mengundi pada PRN ini kerana mereka bimbang dengan keselamatan mereka.

Bagi penulis persoalan tentang sesuatu SOP yang ketat adalah satu juzuk daripada isu ini. Namun satu juzuk lagi pula ialah berkaitan dengan penguatkuasaan SOP tersebut.

Jika kita melihat PRN Sabah, pada waktu itu juga ada SOP yang ketat. Pada masa itu juga semua orang risau tentang Covid-19, sementelah pada waktu itu belum ada vaksin lagi.

Walau pun ada SOP yang ketat namun ia tetap menggelombangkan satu fasa Covid-19 yang membadai sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diikuti oleh darurat.

Semua pihak harus mengambil perhatian tentang kebimbangan yang amat sangat dalam kalangan rakyat untuk keluar mengundi kerana risau jangkitan akan berlaku secara besar-besaran.

Ada dua perkara penting dalam isu ini iaitu yang pertama SOP perlu ketat dan yang kedua ia perlu dikuatkuasakan dengan tegas.

Sebenarnya daripada pengalaman penulis dalam berdepan isu SOP ini di banyak situasi, sesuatu SOP itu akan cenderung untuk tersasar sedikit dari yang ditetapkan.

Contohnya, katalah sesuatu dewan itu pada asalnya boleh memuatkan 100 orang. Katalah berdasarkan kajian, kita menetapkan jumlah yang selamat untuk dewan itu ialah 50 orang.

Namun bila kita menetapkan jumlah maksimum adalah 50 orang akan mewujudkan kecenderungan untuk hadirin tersasar kepada 70 orang. Ini banyak terjadi.

Jadi, SOP harus bersifat konservatif. Jika mengikut contoh tadi kadar yang selamat ialah 50 orang maka ia harus ditetapkan pada kadar lebih rendah daripada itu, contohnya 30 orang. Sekiranya ia tersasar kepada 50 orang maka ia masih dalam kadar yang selamat.

Semua ini penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat untuk keluar mengundi dalam keadaan mereka yakin bahawa mereka benar-benar selamat berdasarkan perjalanan kempen yang mereka lihat dengan mata mereka sendiri bermula daripada proses penamaan calon lagi.

Memandangkan aktiviti membuang undi adalah proses terakhir dalam PRN ini, jadi semua pematuhan terhadap SOP sepanjang proses PRN ini akan menjadi petunjuk kepada rakyat samada mereka akan keluar mengundi atau tidak.

Rakyat akan melihat sepanjang kempen ini adakah kadar kes baharu Covid-19 akan meningkat atau berlakunya pelanggaran SOP yang ketara oleh parti-parti politik atau SPR sendiri. Semua ini petunjuk samada mereka akan membuat keputusan untuk keluar mengundi atau boikot. Itu yang SPR dan semua parti politik perlu beri perhatian mulai sekarang. – HARAKAHDAILY 23/10/2021

- Advertisement -