Mangsa ribut FELDA Kemahal disantuni PAS Bentong

- Advertisement -

BENTONG: PAS Kawasan Bentong telah mengadakan ziarah susulan selepas lawatan pertama 17 Oktober lalu menyantuni warga penduduk dalam kalangan mangsa ribut di Kampung FELDA Sungai Kemahal, Pelangai, di sini semalam.

Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah hadir menemui para penduduk terbabit bersama Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak menyerahkan sumbangan kepada mereka.

- Advertisement -

Sejumlah RM5,000 berjaya dikutip PAS Bentong hasil derma kilat sumbangan ahli PAS Cawangan-cawangan yang diserahkan kepada wakil Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Kampung FELDA Sungai Kemahal, Amrullah Jusoh.

“PAS kawasan Bentong hadir kali kedua hari ini menyerahkan kutipan derma kilat kami untuk disumbangkan kepada mangsa ribut. Hari Ahad lalu, sempat ziarah beberapa orang sahaja. Hari ini alhamdulillah kita ziarah lagi enam keluarga. 

“Kami amat bersimpati dan prihatin di atas musibah yang menimpa penduduk. Insya-Allah, PAS Bentong kita seperti biasa akan terus bekerja dan berusaha menyantuni dan membantu masyarakat,” ujar Khairuddin.

Turut hadir bersama rombongan PAS Bentong adalah Naib Yang Dipertua, Samsuddin Abdullah dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK), Mustaffa Abu Bakar dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa lain.

Pasangan suami isteri mangsa ribut, Rejab Awang, 79 dan Sakdiah Hassan, 74 ketika menceritakan detik-detik kejadian berkenaan berkata, ribut mengganas hampir sejam dan ia berlaku tanpa diduga sama sekali.

“Takut betul makcik. Makcik tak berani duduk dalam rumah, makcik duduk luar. Dekat nak Maghrib baru berhenti. Angin mari dari arah ini belakang ikut atas (atas bumbung belakang rumah).

“Nak buat macam mana dah nak kena. Kita mana tahu. Lama dah tak hujan lebih 10 hari, baru nilah hujan, datang) sekali dengan hujan batu, Allahuakbar!” cerita Sakdiah.

Bagi Rejab, beliau sekeluarga menerima musibah ini sebagai satu ketentuan dan memohon agar Allah memelihara imannya dan sahabat-sahabatnya berhadapan dengan bencana ribut kali kedua sepanjang tempoh 50 tahun mereka meneroka FELDA ini.

Antara turut berkesempatan diziarahi dan dihulurkan sedikit sumbangan ialah Ahmad Nasri Kuntom yang ketika kejadian tiada di rumah kerana sedang merewang untuk jamuan satu majlis.

Lebih setahun lalu, pada 14 Jun 2020 kampung ini juga pernah dilanda musibah serupa di mana Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh turun menziarahi penduduk.

Berita ziarah itu telah dirakam di dalam laman sesawang https://harakahdaily.net/index.php/2020/06/14/nuridah-kunjungi-mangsa-ribut-felda-sg-kemahal/.

Pada 16 Oktober lalu sekitar jam 6 petang, bencana ribut yang berlaku telah memusnahkan lebih 50 rumah penduduk di sini. – HARAKAHDAILY 23/10/2021

- Advertisement -