Harga subsidi dicadangkan terus kepada petani

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) mencadangkan kepada kerajaan agar harga subsidi diberikan terus kepada petani di negeri ini bagi mengatasi masalah yang dialami ekoran isu lewat mendapat benih padi dan tiada ketetapan harga siling bagi mengawal harga benih padi.

Exco PESAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, dalam industri getah sebagai contohnya, penoreh boleh menikmati harga subsidi,  jadi kenapa konsep yang sama tidak boleh diaplikasi kepada golongan petani.

- Advertisement -

Menurutnya, golongan petani di negeri ini mengeluh ekoran isu lewat mendapat benih padi dan tiada ketetapan harga siling bagi mengawal harga benih padi supaya tiada pihak mengambil kesempatan menjualnya dengan harga yang tinggi.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, isu kelewatan mendapat benih padi sudah berlarutan sejak tahun 2018, dan menjadi semakin  buruk sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, isu tersebut sememangnya melibatkan rakyat daripada golongan petani, dan boleh dikatakan setiap musim penanaman padi, masalah yang sama dihadapi.

“Cuma dari sudut penyelesaian, saya lihat pihak terbabit kurang mengambil tindakan kerana ia melibatkan banyak pihak seperti pengilang, Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” katanya.

Mengulas mengenai isu tiada ketetapan harga siling untuk benih padi, menurutnya, subsidi yang diberikan kerajaan diperolehi pengilang dengan harga sekampit RM20.60 tetapi pengilang menjual dengan harga yang tinggi kepada petani sehingga ada yang mencecah harga RM50 sekampit.

“Ini menyebabkan petani terpaksa beli dengan harga yang mahal oleh kerana tiada ketetapan harga siling bermakna harga subsidi hanya dinikmati oleh pengilang bukannya dalam kalangan petani,” ujarnya lagi.

Abdul Rashid berkata lagi, kelewatan mendapat bekalan benih pula adalah disebabkan proses pengedaran  tidak mengikut jadual yang diberikan oleh pihak MADA.

“Sudahlah harga mahal, benih padi pula lambat tiba seperti sekarang ini sepatutnya fasa dua penanaman padi sudah selesai iaitu bermula 1 Oktober hingga 25 Oktober.

Dalam masa yang sama, menurutnya lagi,  petani juga terpaksa menangguh kos input pertanian seperti racun, baja yang semakin meningkat sehingga mencecah 80 peratus.

“Sudahlah petani terpaksa menanggung beban benih padi lambat, input pertanian pula semakin mahal tetapi harga siling untuk beras masih lagi RM2.60 sedangkan untuk industri sawit harga pasaran untuk kelapa sawit meningkat sejajar dengan harga kos yang semakin meningkat.

“Tetapi untuk padi, harga kos permulaan meningkat sehingga 80 peratus tetapi harga pasaran beras tetap sama. Kita tidak minta harga beras meningkat tetapi ia  tidak adil untuk para petani yang terpaksa menanggung kos tersebut,” katanya.

Sementara seorang petani,  Razali Saad berkata, dia mencadangkan sudah tiba masanya mempunyai kilang untuk mengeluarkan benih padi sendiri yang dijual terus kepada petani tanpa perlu melalui pengilang.

“Masalah dalam  kalangan petani sekarang ini ialah kerana tiada kemudahan untuk mengeringkan padi dengan keadaan musim yang tidak menentu, tidak seperti zaman dahulu petani menyediakan sendiri benih padi,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Terdahulu, Badan Bertindak Petani MADA pada 19 Oktober lalu mendakwa telah berlaku sekali lagi kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan tanaman lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis. – HARAKAHDAILY 22/10/2021

- Advertisement -