Usaha perkasa Syariah tidak terhenti, malah diperhebat

BARU-baru ini, kita telah dilanda satu ujian besar dari Allah S.W.T iaitu pandemik COVID-19, yang telah memberi kesan yang amat mendalam kepada masyarakat Malaysia. Ini salah satu peringatan dari Allah untuk kita sedar dan insaf akan kekuatan dan kelemahan kita sebagai manusia. 

Banyak perkara yang terkesan akibat pandemik yang melanda, dari segi pengurusan mahupun pentadbiran. Walaupun begitu, usaha bagi memperkasa perundangan syariah tidak pernah terhenti, malah terus diperhebatkan.

Advertisement

Saya bersama YB Menteri, dengan sinergi dan keterlibatan semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sentiasa berusaha 24 jam sehari 7 hari seminggu tanpa henti, dalam memberikan penerangan dan kesedaran berkenaan Undang-undang Syariah.

Alhamdulillah, beberapa program telah disusun dan digerakkan di bawah JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) serta Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS).

Baru-baru ini, kita telah mengadakan satu konvensyen berkenaan Kesedaran Terhadap Pematuhan Undang-undang Syariah pada 13 Oktober 2021. Dan berbagai lagi program sedang disusun dan dirangka untuk agenda ini.

Ini semua adalah usaha kita dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan dan komuniti di negara Malaysia, agar kita dapat melahirkan sebuah khaira ummah seperti mana yang disebut dalam Quran surah Ali Imran ayat 110: 

‎كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ ۗ وَلَوْ اٰمَنَ اَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ ۗ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُوْنَ وَاَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُوْنَ

“Kamu adalah khaira ummah (Jemaat, golongan, orang-orang terbaik), yang diciptakan untuk kemanfaatan umat manusia; kamu memberi petunjuk ke arah berbuat kebaikan dan menghentikan berbuat keburukan, dan beriman kepada Allah. Dan, sekiranya Ahli kitab beriman, nescaya akan lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah fasik.”

(Ali-Imran: 110)

Diharapkan agar dengan secebis usaha ini, dapatlah kita membawa kerahmatan kepada Malaysia sebagai sebuah negara ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’, seperti mana Allah memberkati Kaum Saba di dalam surah Saba ayat 15:

‎لَقَدْ كَانَ لِسَبَاٍ فِيْ مَسْكَنِهِمْ اٰيَةٌ ۚجَنَّتٰنِ عَنْ يَّمِيْنٍ وَّشِمَالٍ ەۗ كُلُوْا مِنْ رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوْا لَهٗ ۗبَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَّرَبٌّ غَفُوْرٌ

“Sungguh bagi Kaum Saba’ ada tanda (kebesaran Rabb) di kediaman mereka, iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan:) “Makanlah dari rezeki yang dianugerahkan Tuhan kalian dan bersyukurlah kepadaNya!’. Negara yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun.” 

(Saba’: 15)

“Perkasa Syariah”
“Pelan Pemerkasaan Syariah
“Agensi Agama”

YB USTAZ DATO’ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 20/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=427439298943116&id=100050311487174