RMK12: Ucapan perbahasan Senator Ir Ts Khairil Nizam

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada YB Bera atas kejayaan membentangkan RMK12 kepada seluruh Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia. Pada saya, di antara keunikan RMK12 ini ialah ia mendapat cetusan idea dan wawasan daripada dua orang Perdana Menteri Malaysia iaitu YB Pagoh dan YB Bera.

- Advertisement -

Izinkan saya untuk mulakan ucapan perbahasan saya pada hari ini dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Hashr ayat 7:

كَیۡ لَا یَكُونَ دُولَةَۢ بَیۡنَ ٱلۡأَغۡنِیَاۤءِ مِنكُمۡۚ وَمَاۤ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُوا۟ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ ﴿ ٧ ﴾ 

(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.”

Saya juga ingin merujuk kepada nasihat Ibnu Khaldun di dalam kitab mahakarya beliau iaitu Muqaddimah, Bab 13:

Ketika penguasa mereka meminta rakyat berhemat dan meminta bantuan untuk membiaya perang serta perbelanjaannya dan mereka menolaknya. Lalu penguasa-penguasa itu pun menjatuhkan hukuman ke atas rakyat mereka dengan harta dan pendapatan sebahagian besar rakyatnya.”

Ironinya, para penguasa itu mereka memonopoli kekayaan yang mereka peroleh daripada rakyat dan diagihkan kepada putera dan puteri mereka serta orang-orang yang berada di sekeliling mereka (kronisme)”.

Tema perbahasan saya pada hari ini ialah Ke Arah Memacu Ekonomi Keluarga Malaysia yang Berkat dan Mampan.Keluarga Malaysia bermaksud falasfah kebersamaan (togetherness), tiada yang terkecuali dan kesemuanya diagihkan mengikut kadar dan keperluan mereka secara adil dan bukannya secara sama rata. 

Berkat bermaksud, kebaikan yang bertambah-tambah iaitu limpahan rezeki di atas rahmat (kasih) Allah kerana dasar dan polisi yang tidak mengundang murka Allah serta berlaku adil kepada semua manusia. Mampan bermaksud Kelestarian Ekonomi yang mampu menampung keperluan semasa tanpa menjejaskan keupayaan untuk menampung akan datang.

Bagi merealisasikan tema di atas saya dengan ini membahaskan RMK12 ini di atas 9 paksi seperti berikut:

Paksi 1: Malaysia sebagai sebuah Negara Islam

Saya sekali lagi ingin menegaskan di Dewan yang Mulia ini bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3 telah menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Tambahan pula, YDPA selaku Ketua Negara juga telah bersumpah untuk memelihara agama Islam di negara ini. Jemaah Menteri selaku badan eksekutif yang menjalankan tugas bagi pihak YDPA mestilah mentadbir negara seperti yang termaktub dalam sumpah Baginda dan bukan sebaliknya.

Apa yang diharapkan oleh kami selaku umat Islam di negara ialah kerajaan menzahirkan komitmen di dalam RMK12 untuk mengurangkan kebergantungan pendapatan kerajaan kepada industri maksiat khususnya industri judi yang terbukti membawa kepada masalah sosial yang lebih besar kepada negara kita. Saya juga mewakili majoriti umat Islam di negara kita ingin melihat kesungguhan kerajaan melalui RMK12 untuk membanteras ‘ekonomi gelap’ yang berleluasa dalam negara kita ini.

Jika dilihat kepada manuskrip dan panduan dalam setiap agama, didapati kesemuanya menolak perbuatan judi ini. Contohnya di dalam agama Buddha. Terdapat enam bahaya di dalam kecanduan judi yang disebut di dalam Sigālovāda Sutta. Bagi agama Kristian, walaupun tidak terdapat larangan mengenai judi secara terus, namun terdapat beberapa ayat yang menunjukkan larangan menyertai aktiviti judi, seperti yang tertulis di dalam Kitab Lukas, Bab 12, ayat ke-15. Dan juga bagi agama Hindu turut disebut sebagai ‘dyuta’. Dalam Kitab Manawa Dharmasastra yang menyatakan judi ini ‘menyebabkan kehancuran kerajaan dan putra mahkota’.

Selain itu, saya mencadangkan agar kerajaan kembali memberikan fokus di dalam RMK12 menjadikan Malaysia sebagai Hub Industri Halal di peringkat Antarabangsa. Saya ingin kesempatan ini bertanyakan kepada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai perkembangan terkini Pelan Induk Industri Halal 2030 yang dibangunkan selari dengan Teknologi baharu yang pesat berkembang seperti teknologi kewangan (Fintech), Internet Pelbagai Benda (Internet of Things – IoT), Data Raya, Blockchain dan Industri 4.0.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Hakikatnya, negara kita telah mempunyai pelbagai undang- undang, pelan jangka masa panjang serta agensi yang ditubuhkan bagi memerangi amalan rasuah. Namun, kita masih lagi sering mendengar berita amalan pecah amanah, salah guna kuasa dan rasuah bermaharajalela dalam kalangan ahli politik, pegawai kerajaan serta pihak swasta. Saya mohon agar pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang, membentangkan di Dewan yang Mulia ini mengenai usaha kerajaan melalui RMK12 bagi mempertingkatkan penguatkuasaan kerajaan serta SPRM ke atas kes-kes rasuah serta pecah amanah yang berlaku di dalam negara kita.

Saya menyeru agar pihak kerajaan dapat menumpukan ke arah pelaksanaan serta penguatkuasaan agenda memerangi rasuah yang telah merosakkan negara kita sejak sekian lamanya.

Abdullah ibn ‘Amr R.A meriwayatkan yang bermaksud:

Rasulullah S.A.W melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

(Hadis Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi,dan Ibn Majah)

Paksi 2: Pemerkasaan Pendidikan Islam dan Bumiputera

Saya merujuk kepada ucapan YAB Perdana Menteri ketika membentangkan RMK12, beliau mengatakan, “bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz, akan diperkukuh, antaranya melalui inisiatif berikut: (1) Latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang; dan (2) Kemahiran untuk kerjaya masa hadapan, seperti penganalisis dan saintis data serta pakar data raya.

Saya mengucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerana telah memperuntukkan RM100 juta kepada Maahad-maahad serta pondok tahfiz di seluruh negara namun saya juga mencadangkan agar Kementerian Kewangan menaikkan jumlah peruntukan kepada Ma’had Tahfiz dan pondok-pondok di seluruh negara ini kepada RM300 juta agar jumlah peruntukan tersebut selari dengan jumlah serta sumbangan mereka kepada Institusi Agama di dalam negara kita.

Melangkah ke hadapan, saya mencadangkan agar pihak Jabatan Perdana Menteri dapat membangunkan Pelan Pembangunan Sumber Manusia Institusi Tahfiz Negara ke arah melahirkan generasi huffaz yang akan menjadi penggerak utama kepada sektor awam dan swasta pada masa hadapan. Saya mencadangkan agar kerajaan meletakkan sasaran khusus untuk menaiktaraf kualiti pegawai-pegawai kerajaan pada masa hadapan dengan meramaikan golongan huffaz dalam kalangan mereka. Sebagai contoh, dalam tempoh 5 tahun akan datang, kerajaan mensasarkan seramai 20 peratus daripada pegawai kerajaan mestilah terdiri daripada mereka yang menghafal al-Quran.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Sehubungan dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi luar bandar dan kawasan bandar, serta tujuan asal penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) saya mohon kepada Kementerian Pendidikan membentangkan di Dewan yang Mulia ini laporan pelaksanaan kuota kemasukan semasa 60 peratus daripada B40 ke SBP dan MRSM. Saya juga mencadangkan agar kerajaan meningkatkan lagi peratusan jumlah kuota kemasukan daripada B40 ini dan memberikan bantuan awal bagi setiap kemasukan daripada B40.

Paksi 3: Reformasi sistem kewangan dan percukaian negara

Saya ingin mengajak kepada semua rakan-rakan di Dewan Negara ini serta seluruh rakyat Malaysia di luar sana untuk memahami prinsip Islam dalam urusan ekonomi iaitu:

a. “Memastikan agar harta tidak berlegar dalam kalangan golongan yang berharta semata-mata.” (Surah Al-Hasyr: Ayat 7).
b. Cukai diambil daripada lebihan kekayaan (idle resources) atau harta yang tidak berganjak supaya kekayaan itu terus berlegar dan menghidupkan kembali ekonomi (circulation of money).
c. Cukai itu yang dikutip digunakan bagi membantu golongan yang miskin dan memerlukan.

Oleh itu, rancangan fiskal/RMK12 dalam Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) perlu mengambil kira pengenalan dasar pencukaian yang tidak membebankan golongan yang tidak sepatutnya, mengoptimumkan lebihan kekayaan (idle resources) serta memastikan golongan sasar yang tepat berdasarkan kepada geografikal wilayah dan garis pendapatan serta tanggungan si penerima.

Antara cadangan cukai baru yang PAS telah cadangkan melalui Dokumen Hijau dan boleh dibangunkan melalui RMK12 ialah Cukai Keuntungan Pegangan Saham, Cukai Perniagaan Digital, Cukai Hijau (Green Tax), Cukai Nilai Tambah (Value-Added Tax) dan Cukai Durian Runtuh (Winfall Tax).

Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas untuk memantau status pematuhan syariah ke atas Sistem Kewangan yang digunapakai oleh kerajaan, agensi di dalam Kerajaan dan GLC di bawahnya. Saya mencadangkan agar pihak Kementerian Kewangan memastikan sistem kewangan yang digunapakai oleh KWSP, KWAP, PERKESO dan lain institusi kewangan yang melibatkan rakyat daripada kalangan umat Islam diubah kepada sistem kewangan patuh syariah dalam tempoh 3 tahun selepas daripada ini.

Paksi 4: Penjenamaan semula ekonomi dan sosial anak muda 

1. Kebolehpasaran graduan.

Saya ingin merujuk kepada permasalahan ketidakpadanan / ‘miss-match’ antara graduan (pembekal / supply) dan keperluan industri (permintaan / demand) yang dialami oleh ramai anak muda di luar sana.

Sekali lagi, saya ingin bertanya, sejauh manakah komitmen pihak Kementerian Sumber Manusia dalam menyelesaikan isu pengangguran graduan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun?

Antara cadangan yang ingin saya kemukakan kepada pihak KSM adalah dengan mengadakan kerjasama bersama Kementerian Pengajian Tinggi serta wakil-wakil dari pihak industri supaya kita dapat melihat seramai mana bilangan tenaga sumber manusia yang diperlukan oleh industri dan bagaimana silibus pelajaran yang diajar di university dan kolej mampu memanfaatkan negara melalui para graduan yang dihasilkan.

2. Mewujudkan Dasar Pendidikan Tinggi Belia.

Di dalam RMK-10, sebanyak RM28 bilion diperuntukkan bagi membiayai pengajian untuk menyambung pelajaran di peringkat tertinggi seperti Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Kedoktoran (PhD).

Melalui peruntukan ini juga, Malaysia pada ketika itu mensasarkan seramai 60,000 pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam kalangan warganegara menjelang 2023. Sasaran ini turut dimuatkan di dalam Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Namun begitu, sasaran seperti ini kelihatan tidak lagi mendapat sambutan terutamanya di dalam RMK-12. Bahkan, program seperti MyBrain, MyMaster dan MyPhd juga nampaknya semakin dilupakan.

Jika dilihat kepada negara-negara maju seperti Jerman, United Kingdom, Sweden, Denmark dan Luxemborg, pemegang PhD di negara-negara ini berjumlah antara 1 hingga 2 peratus daripada populasi mereka. Dalam konteks Malaysia, sasaran 60,000 pemegang PhD hanya memenuhi 0.2 peratus populasi rakyat di negara ini.

Justeru, apakah respon pihak KPT berkenaan perkara ini? Adakah kita tidak lagi mengharapkan lahirnya lebih ramai pakar yang mempunyai pengkhususan dalam pelbagai bidang pada generasi masa hadapan?

Dasar Aspirasi Belia Revolusi Industri 4.0

Dalam mempersiapkan negara ke arah Revolusi Industri 4.0, agenda Mydigital menjadi salah satu tunjang penting dan ia bakal mengubah struktur ekonomi negara.

Ia juga dijangka meningkatkan penggunaan teknologi, menumpukan kepada kewujudan tenaga mahir, mengurangkan tenaga kurang mahir dan merancakkan program latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja tempatan sedia ada.

Justeru, saya ingin mencadangkan agar kerajaan membangunkan Pusat Kecemerlangan Belia dan Industri Masa Hadapan. Pusat Kecemerlangan ini akan menjadi lanjutan kepada program sedia ada ke arah melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan mengurangkan pengangguran Anak Muda melalui penglibatan mereka dengan penggunaan teknologi termaju.

Pusat Kecemerlangan Belia dan Industri Masa Hadapan ini akan menjadi Rumah Kelab / ‘clubhouse’ pertama anak muda yang memberikan akses kepada anak muda terhadap makmal, pendedahan IR 4.0, teknologi baru serta keperluan industri masa hadapan.

3. Memperkasa Warga Digital dalam kalangan anak muda.

Saya juga ingin memohon kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi mewujudkan pelan khas untuk membentuk warga digital yang mahir dan bermoral seperti pendidikan berkaitan digital meliputi aspek kemahiran asas, e-dagang, keselamatan, moral, undang- undang dan sebagainya.

4. Dasar Perumahan Anak Muda.

Walaupun sudah sekian lama mengatasi masalah lambakan pembinaan perumahan, isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana masih lagi tidak berkemampuan untuk membeli rumah.

Beberapa program yang dilaksana oleh pihak berkuasa pada peringkat Persekutuan dan negeri tidak sejajar dengan dasar perumahan mampu milik, bahkan hanya menguntungkan pemaju semata-mata.

Saya bersetuju dengan strategi yang dirancang di dalam RMKe-12 dalam menangani isu ini seperti:

a. Menambah baik akses kepada rumah mampu milik.
b. Meningkatkan bekalan rumah mampu milik kepada kumpulan sasar.
c. Mengurus kos pembinaan rumah.

Namun, saya ingin menegaskan bahawa, dalam menjayakan perancangan ini, beberapa perkara perlu dititikberatkan, iaitu:

a. Menyediakan solusi yang komprehensif kepada belia dalam menunaikan komitmen bayaran rumah kerana kebanyakan skim pembiayaan hanya fokus kepada penghapusan bayaran deposit semata-mata, sedangkan yang sebenarnya membebankan mereka adalah komitmen bulanan.
b. Moratorium pembinaan rumah-rumah mewah perlu dilaksanakan dengan kadar segera supaya tiada lagi lambakan rumah dan berkurangnya tanah bagi pembinaan rumah yang mampu didiami oleh kebanyakan rakyat dan anak muda.
c. Memberi fokus kepada pembinaan rumah yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat B40 dan anak muda.
d. Mengutamakan rakyat berbanding pemaju dalam setiap pembinaan rumah.

Paksi 5: Kepentingan penyelidikan sebagai satu pelaburan jangka panjang

Isu yang berlaku di antara dunia penyelidikan dan dunia industri memerlukan suatu penyelesaian yang tuntas supaya negara dapat mengecapi manfaat yang besar hasil sinergi keduanya.

Perlu difahami bahawa penyelidikan akademik, terutama yang berkaitan dengan ilmu fundamental berfungsi untuk membina kefahaman yang menyeluruh terhadap sesuatu permasalahan.

Hasil daripada sesuatu penyelidikan yang bersifat fundamental tidak semestinya relevan untuk diaplikasikan pada masa tersebut. Mungkin ia berguna pada masa hadapan.

Buktinya, terdapat banyak hasil kajian yang dilihat tidak relevan pada zamannya dibuat dahulu, namun kini menjadi sumber rujukan utama.

Walaupun sesuatu penyelidikan sering dipandang enteng daripada yang bukan ahlinya, ia sebenarnya sangat berguna kepada para penyelidik untuk menyambung hasil penyelidikan tersebut bagi menghasilkan suatu penyelidikan yang baru. Dengan kata lain, ia menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan.

Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan dapat menyediakan lebih banyak suntikan dana melalui geran penyelidikan dan dana padanan dalam menghasilkan kajian dan dapatan (Research & Development, RnD) yang memanfaatkan negara sebagai inisiatif bagi menggalakkan penyelidikan akademik.

Kedua, dalam merungkai isu antara pihak penyelidik dan industri ini, suatu platform wajar diwujudkan untuk menggabung jalin tenaga serta idea daripada ahli akademik dan pemain industri dalam menghasilkan suatu inovasi dan hasil yang baharu.

Dalam hal ini, kerajaan melalui KPT sepatutnya berperanan mewujudkan platform tersebut sebagai orang tengah (middle agent) kepada kedua-dua pihak.

Ketiga, Kerajaan juga bertanggungjawab untuk menambahbaik fasiliti dan kemudahan di universiti-universiti awam bagi memudahkan para penyelidik meningkatkan hasil kajian dan penyelidikan dari aspek kualiti dan kuantiti.

Dalam hal ini, wajar untuk kita meletakkan sasaran 5 universiti terbaik di Malaysia pada ketika ini sebagai 100 Universiti Teratas di dunia. Pada ketika ini, 5 universiti ini adalah Universiti Malaya (65), Universiti Putra Malaysia (143), Universiti Kebangsaan Malaysia (144), Universiti Sains Malaysia (147) dan Universiti Teknologi Malaysia (191).

Paksi 6: Keselamatan dan kelangsungan makanan

1. Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) 

Program Smart SBB merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu pengurusan sekali gus dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan produktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi.

Melalui program ini, kementerian menyatakan bahawa ia akan menjadikan purata pendapatan pesawah kepada RM7,900 setahun dan meningkatkan purata produktiviti per hektar daripada 3.5 tan kepada 7 tan metrik setahun.

Namun begitu, jika dikaji secara lapangan dan lebih mendalam, terdapat beberapa perkara yang menjadi persoalan dan kebimbangan terutama dalam kalangan petani dan pesawah yang terlibat. Dan saya melihat mereka ada asas dan justifikasi tersendiri dan boleh diterima pakai.

Pertama, 11 syarikat peneraju yang menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) adalah pihak swasta yang akan bertanggungjawab menguruskan segala-galanya.

Kesannya, petani tidak lagi membuat keputusan tetapi hanya bekerja dan ikut arahan pihak pengurusan syarikat. Jika petani adalah pemilik tanah, mereka hanya duduk di rumah dan menerima bayaran sewa dan keuntungan bulanan.

Nampak seperti bagus, namun saya khuatir jika keadaan ini berterusan, maka tidak akan wujud lagi petani, tetapi hanya pekerja ladang. Kesan yang lebih membimbangkan, ilmu tradisi dan pengalaman turun temurun akan turut hilang sedikit demi sedikit.

Kedua, berdasarkan dapatan aduan yang saya temui, rata-rata para petani menyatakan kebimbangan dengan pelaksanaan Smart SBB ini. Antaranya ialah:

a. Para petani muda yang kini banyak menyewa bendang akan kehilangan bendang yang disewa apabila pemilik tanah menyertai skim sawah estet.
b. Para pekerja yang mengambil upah menabur dan meracun kehilangan kerja apabila pekerja warga asing yang lebih murah dibawa masuk.
c. Pengusaha trektar dan mesin padi tempatan akan bersaing dengan vendor besar yang dilantik oleh syarikat peneraju.
d. Risiko kehilangan tanah akibat tempoh perjanjian yang terlalu lama dan perjanjian yang berat sebelah.
e. Risiko tanggungan hutang yang berlebihan kepada petani dan tuan tanah jika hasil berkurangan.

Isu ketiga, berkenaan sasaran Kadar Sara Diri, atau (Self Sufficient Level, SSL) yang ditetapkan melalui projek ini adalah sebanyak 75 peratus, iaitu meningkat hanya 5 peratus daripada 70 peratus sekarang. Persoalannya, adakah ia berbaloi dengan segala perubahan dan risiko daripada pelaksanaan Smart SBB ini? Dengan keterlibatan sehingga 11 syarikat swasta, adakah peningkatan SSL yang diharapkan hanya 5 peratus? Kenapa tidak menjadikan sasaran 100 peratus kadar SSL, sesuai dengan besarnya program Smart SBB ini.

Keempat, berdasarkan draf Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030, telah dinyatakan bahawa akan berlakunya pengurangan jumlah orang yang bekerja dalam industri padi dan beras. Dokumen tersebut menyatakan jumlah pekerja dalam sektor ini pada tahun 2021 yang dianggarkan sebanyak 109,000 orang akan berkurangan kepada 28,000 orang sahaja pada tahun 2030. Apa sudah jadi? Adakah nanti lebih banyak input pertanian dan hasil pertanian akan diimport sahaja?

Dasar ini jelas mengabaikan faktor ekonomi dunia post-COVID yang menyaksikan banyak pekerja kehilangan pekerjaan di bandar-bandar dan negara-negara di dunia mengalami gangguan bekalan makanan, barangan dan komoditi. Inilah masanya untuk negara membuat perubahan ekonomi (economic shift) ke arah ekonomi yang lebih lestari dan bersifat lokal. Sasaran pengurangan jumlah orang yang terlibat dalam sektor pertanian menjelang 2030 tidak berpijak di dunia nyata.

Kelima, projek penswastaan seperti ini seringkali digambarkan sebagai tindakan untuk menyelesaikan masalah ketidakcekapan agensi dan mengurangkan kos pentadbiran di mana syarikat swasta akan menanggung kos pelaksanaannya. Namun hakikatnya, ia adalah projek pihak swasta untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan ke atas keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka melalui sistem kuota, lesen-lesen khas dan subsidi input. Mohon perhatian sewajarnya daripada pihak Kementerian.

2. Import daging dan tenusu.

Pada tahun 2020, Malaysia mencatatkan jumlah import daging dan susu yang tinggi iaitu daging kambing (90.4 peratus), daging lembu (78 peratus) dan Susu Segar (53.5 peratus).

Persoalan saya, apakah kerajaan tidak berhasrat menghasilkan daging tempatan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import? Apa cabaran yang dihadapi oleh kerajaan untuk melaksanakannya?

Selain itu, import daging babi ke dalam negara kita berjumlah 5.8 peratus. Adakah negara memerlukan daging babi sehingga perlu mengimportnya? Tidak cukup lagikah penternakan babi secara komersial yang ada di negara kita pada ketika ini?

Data menunjukkan Negeri Perak mempunyai penternakan babi yang paling tinggi dengan jumlah sebanyak 545,258 ekor babi pada 2019.

Ia turut mengatasi Sarawak yang berada di tempat kedua dengan 427,037 ekor babi, Pulau Pinang (320,165), Selangor (265,847), Johor (262,178), Sabah (84,055) dan Melaka (41,328). Jika dilihat pada angka, jumlah ini sudah terlalu banyak. Justeru, saya mohon respon dari pihak kementerian.

Paksi 7: Kesediaan Malaysia untuk berpindah kepada teknologi kenderaan elektrik

Penggunaan kenderaan elektrik (EV) berteknologi hijau dapat mengurangkan kadar pencemaran dan pelepasan karbon selaras dengan Teras 4 Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 iaitu menghijaukan sektor pengangkutan di dalam negara kita. Ia juga sejajar dengan komitmen negara dalam ‘Paris Agreement’ iaitu untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding kadar pada tahun 2005. Menurut kajian, dengan hanya sebuah kereta elektrik, kita dapat mengurangkan 1.5 juta gram gas CO2 secara purata, dan ini menunjukkan bahawa kereta elektrik sangat penting untuk masa hadapan sektor automotif negara kita.

Baru-baru ini, Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) dan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) terhadap pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik. Kerjasama ini akan mengukuhkan rantaian nilai kereta elektrik di Malaysia dan bakal menyaksikan pemasangan lebih kurang 1,000 stesen pengecasan kereta elektrik (pengecas pantas DC) di seluruh negara menjelang 2025.

Saya ingin mencadangkan di Dewan yang Mulia ini agar Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama PROTON menjadikan agenda Kereta Elektrik (bukan kereta terbang ya!) ini sebagai gagasan besar di dalam RMK12. Saya mengimpikan, negara kita dapat melahirkan kereta elektrik pertama negara kita dalam tempoh 2 tahun akan datang. Saya percaya, melalui projek-projek hiliran kereta elektrik ini, kita juga bakal membuka peluang pekerjaan yang lebih besar kepada anak-anak muda di dalam negara kita.

Saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk melakukan projek ‘Malaysianisasi’ dan kita berharap Kerajaan dapat mengurangkan pengambilan pekerja luar di dalam syarikat-syarikat yang melabur di dalam negara kita khususnya dalam industri kereta elektrik negara ini.

Pada bulan Ogos yang lalu, Malaysia mendapat berita gembira apabila Fakhirah Khairuddin, pelajar lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kota Putra (Ulul Albab) Terengganu dipilih oleh syarikat gergasi Amerika Syarikat, iaitu Tesla untuk bertugas sebagai jurutera di sana. Saya yakin, PROTON dapat melakukan usaha merintis teknologi hijau ini dan rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi di seluruh negara bersedia untuk berganding bahu dalam menjayakan agenda besar ini.

Saya berharap, dengan adanya tekad serta kesungguhan kerajaan untuk menerokai industri kereta elektrik ini, kerajaan juga pada masa yang sama melalui RMK12 boleh meningkatkan lagi keyakinan rakyat untuk berpindah kepada penggunaan kereta elektrik ini melalui penyediaan infrastruktur seperti charging station; pembangunan standard bagi alat pengecas, teknologi battery swapping serta kitar semula bateri; penetapan harga kenderaan yang kompetitif dan insentif bagi menggalakkan penggunaan Kereta Elektrik.

Paksi 8: Penyelidikan dan pembangunan Nuklear sebagai sumber tenaga elektrik negara

Perbincangan mengenai topik Nuklear sebagai sumber tenaga elektrik negara ini mungkin menjadi topik yang terlarang / ‘taboo’ dalam kalangan rakyat Malaysia oleh kerana kebiasaannya kita melihat Nuklear adalah mengenai bom atau kemusnahan / ‘destruction’. Namun, melihat ke hadapan saya mengambil pendirian bahawa Malaysia perlu bersedia untuk membincangkan perkara ini.

Berdasarkan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, lebih 400 reaktor di 30 buah negara telah menghasilkan kira- kira 11 peratus elektrik di dunia. Persatuan Nuklear Dunia pula menganggarkan bahawa pada masa hadapan, permintaan terhadap tenaga elektrik dunia akan meningkat pada tahun 2040 oleh bilangan penduduk peningkatan, kerancakan ekonomi dunia dan pembandaran yang pesat.

Apa yang saya ingin bangkitkan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, di Dewan yang mulia ini ialah apakah berdasarkan kepada penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) yang dilakukan oleh Agensi Nuklear Malaysia yang ditubuhkan sejak 11 November 1971, apakah Malaysia bersedia untuk menerokai jalan untuk menggunakan Nuklear sebagai salah satu sumber tenaga pada masa akan datang?

Menurut Dr. Siti Amira Othman daripada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terdapat banyak faedah apabila kita menggunakan tenaga nuklear sebagai tenaga elektrik antaranya ialah, tenaga yang dihasilkan adalah besar berbanding sumber tenaga elektrik sedia ada. Dinyatakan 1 kilogram uranium mampu menghasilkan kuasa sebanyak 24 juta kWh.

Selain itu, tenaga nuklear juga adalah sumber tenaga yang mesra alam kerana tidak membebaskan gas-gas rumah hijau seperti metana, karbon dioksida dan ozon.

Saya kira sudah tiba masanya untuk negara kita menerokai jalan-jalan awal bagi mempersiapkan negara kita ke arah menjadikan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga elektrik buat negara kita pada masa akan datang.

Paksi 9: Pendirian Malaysia di persada Antarabangsa

1. Ibu Negara Indonesia Baru di Kalimantan.

Seperti yang kita maklum, Kerajaan Indonesia kini sedang dalam proses untuk memindahkan ibu negara mereka dari Jakarta ke Kalimantan Timur, bersempadan dengan wilayah Borneo kita.

Projek ini dijangka akan menghasilkan kesan baik kepada ekonomi Indonesia dan juga negara jiran termasuk Malaysia. Antaranya adalah seperti memberikan peluang kepada syarikat yang terlibat dalam pelbagai infrastruktur, menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur maritim, membuka laluan perdagangan baru melalui Indonesia Timur serta memberi peluang kepada rangkaian perusahaan hotel dan resort melalui industri pelancongan

Berdasarkan unjuran potensi ini, maka sewajarnya Malaysia selaku antara jiran terdekat melalui Sabah dan Sarawak perlu segera bertindak mencipta peluang, dan bukan sekadar ‘menunggu’ peluang – untuk memposisikan kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICs), badan tidak berkanun, syarikat swasta, termasuklah mikro, kecil, dan sederhana untuk turut sama mendapat manfaat strategik jangka panjang daripada proses pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur kelak.

Justeru, saya mohon kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) terutamanya untuk memberikan respon berkenaan cadangan ini.

2. Pakatan baru di Laut China Selatan.

Di samping itu, isu pertembungan antara Amerika Syarikat dengan China dijangka akan berterusan di Laut China Selatan. Baru-baru ini Amerika telah menubuhkan pakatan ketenteraan baru AUKUS bersama Australia dan United Kingdom.

Namun, pada satu sisi yang lain, China pula berterusan dilaporkan memasuki wilayah Zon Ekonomi Eksklusif kita, sebagai isyarat tuntutan ‘Nine Dash Line’ mereka adalah serius. Secara khususnya, dua garisan tuntutan China itu iaitu garisan keempat jelas berada di perairan Sarawak manakala garisan kelima pula berada di Utara Sabah.

Sebagai sebuah negara yang berpegang teguh dengan prinsip Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN), langkah kerajaan hari ini tidak menyebelahi AUKUS pimpinan Amerika dan juga membantah pencerobohan China secara diplomatik adalah tepat.

Data membuktikan bahawa kebergantungan ekonomi, perdagangan, pelaburan, serta kewangan kita cukup tinggi kepada Washington dan Beijing, sekali gus menuntut kita agar berhati-hati di samping membangunkan kekuatan sendiri semaksimum yang mungkin.

Pun begitu, saya mencadangkan agar kerajaan Malaysia melaksanakan suatu langkah proaktif umpama serampang tiga mata di Laut China Selatan melalui rundingan dan perbincangan.

Pertama, selari dengan dasar ‘Keluarga Malaysia’, mungkin dasar ‘Keluarga Laut China Selatan’ boleh diusulkan di antara 11 negara ASEAN dengan Amerika Syarikat dan China. Melalui pendekatan ‘Keluarga Laut China Selatan’ ini, selain matlamat keamanan dan kestabilan boleh dicapai, ada dua inisiatif geo-ekonomi Amerika dan China yang boleh dimanfaatkan.

Jika China menawarkan Inisiatif Belt and Road (BRI), Amerika pula pada tahun ini telah melancarkan inisiatif ‘Build Back Better World’ (B3W) untuk mengurangkan jurang infrastruktur berjumlah RM160 trilion (USD40 trilion) dengan kerjasama negara G7 untuk menyaingi inisiatif infrastruktur BRI China.

Maka Malaysia melalui ASEAN boleh menjadi ‘kuasa pertengahan’ atau Middle Power dalam menggembleng kedua-dua inisiatif Amerika dan China untuk mencapai matlamat ‘Keluarga Laut China Selatan’ ini, seterusnya meningkatkan aspek ekonomi dan keselamatan di rantau ini.

Justeru, saya memohon maklum balas daripada Kementerian Luar Negeri dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkenaan hal ini.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Burung helang terbangnya tinggi,
Hinggap sebentar di pohon jati,
Terima kasih Ahli Dewan Negara yang dikasihi,
Memberi tumpuan sepenuh hati.

Dengan ini saya mohon izin menyokong RMK12 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Sekian.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda Perikatan Nasional
Ketua Pemuda PAS – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -