PAS jadi pendamai elak PH kembali berkuasa di Melaka

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH: Mengambil kira populasi orang Melayu-Islam yang merangkumi 63 peratus daripada 900,000 penduduk Melaka, maka negeri itu memerlukan kepada penyatuan parti berteraskan Melayu.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Dato’ Kamarudin Sidek berkata, kebimbangan orang Melayu di negeri itu sekarang terhadap sikap parti-parti Melayu yang sukar untuk bekerjasama.

- Advertisement -

“Pepatah Melayu sebut ‘jangan sampai nasi jadi bubur’,” katanya pada forum Bicara Harakah bertajuk, PRN Melaka – Masa Depan Politik Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Harakah malam tadi.

Turut bertindak sebagai panelis Pengerusi NGO Ummah Melaka, Hishamuddin Abu Bakar, manakala moderator Badzli Bakar.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubar baru-baru ini ekoran empat ADUN penyokong kerajaan bertindak menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Dato’ Seri Sulaiman Md Ali.

ADUN terbabit iaitu dua daripada Umno, dan masing-masing seorang daripada Bersatu dan Bebas. Ekoran itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Melaka hilang majoriti.

Kamarudin juga berkata, PAS sekarang bertindak sebagai pendamai kepada Umno dan Bersatu bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di negeri tersebut.

“PAS perlu menjadi pendamai di antara parti-parti politik Melayu khususnya dan parti-parti bukan Melayu yang tidak ekstrem dalam membangunkan negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum.

“PAS perlu memainkan peranan sebagai orang tengah. Senang cerita, kita kata ini antara Umno dan Bersatu yang dilihat sebagai agak panas hubungan antara mereka dan PAS berada di tengah-tengah,”  ujar beliau.

Menurutnya juga, kalau betul perjuangan dibawa Umno dan Bersatu itu Melayu-Islam mengapa mereka tidak boleh bersatu.

Kata beliau, sentimen yang berlaku itu membawa kepada perebutan, pemilikan kuasa, politik semata-mata.

“Jadi, itu sebab PAS terpaksa berkorban bukan sekadar kita nak menang sahaja. Tetapi bagaimana seruan Islam ini supaya umat Islam ada satu kesatuan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/10/2021 >>>Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak Isnin ini.<<<

- Advertisement -