Kerajaan perlu tingkatkan keberkesanan perkhidmatan kesihatan primer

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, meminta kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap perkhidmatan kesihatan primer yang amat penting sebagai barisan hadapan memastikan kesihatan rakyat.

Beliau berkata, peruntukan kewangan khusus untuk kesihatan primer perlu diberikan untuk meningkatkan infrastruktur dan sumber manusia bagi menghadapi Covid-19 yang bakal memasuki fasa endemik dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat secara keseluruhan.

- Advertisement -

Katanya, perkhidmatan primer penting kerana menguruskan kesihatan di peringkat paling dekat dengan rakyat di seluruh negara.

“Perkhidmatan primer yang menyediakan kemudahan pesakit luar di klinik kesihatan memainkan pelbagai peranan, bermula dengan aspek pencegahan, pengesanan kes, rawatan awal serta rawatan kecemasan vaksinasi dan juga rawatan selepas jangkitan Covid-19,” katanya ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Dr Wan Martina berkata, pada masa sama kakitangan perkhidmatan primer perlu meneruskan kerja hakiki mereka, iaitu memberikan rawatan berdasarkan perkhidmatan sedia ada.

“Bayangkan beban kerja yang mereka terpaksa hadapi. Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan menubuhkan jabatan khas yang memberi tumpuan terhadap aspek pencegahan penyakit bagi mengelakkan rakyat menghidap sesuatu penyakit,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana pendekatan sekarang lebih tertumpu kepada merawat penyakit berikutan sikap masyarakat yang sudah biasa berjumpa doktor apabila tidak sihat.

“Kita tidak biasa dengan amalan berjumpa doktor untuk memastikan kita kekal sihat dengan membuat saringan di peringkat awal atau membuat pemeriksaan kesihatan. Jadi amat penting untuk kita wujudkan satu jabatan khusus di bawah sektor kesihatan awam untuk pencegahan penyakit,” katanya.

Beliau berkata, kos merawat penyakit juga adalah berlipat kali ganda lebih mahal berbanding pencegahan menyebabkan kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan jika keberkesanan aspek pencegahan dapat dipertingkatkan. – HARAKAHDAILY 14/10/21

- Advertisement -