KALA Sentral pamer 1,000 produk berciri Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAAD ARIF ISMAIL & AIN MANAF

KOTA BHARU:
KALA Sentral yang terletak di Dataran Muhammadi di sini merupakan usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat pengumpulan produk usahawan Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kumpulan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab Aziz Yunus berkata, ia adalah langkah komprehensif mempromosikan produk berkenaan ke seluruh dunia.

Menurutnya, PKINK akan membantu usahawan untuk mendapat sokongan termasuk Sirim Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

- Advertisement -

“Jika produk mereka mendapat sambutan menggalakkan, kami akan bantu meningkatkan lagi kualiti produk dalam segi pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran ke peringkat lebih luas.

“Kita akan membantu uaahawan terbabit menjalin kerjasama dengan Sirim, Mara, PUNB, Amanah Ikhtiar dan MATRADE sekiranya produk mereka bersedia untuk dipasar ke luar negara,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Turut hadir Timbalan ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamad Nasriff Daud dan Pengurus Usahawan, IKS dan Perhubungan Antarabangsa Kumpulan, Tuan Muhammad Faizal Tuan Sulaiman.

Ab Aziz berkata, KALA Sentral dijangka beroperasi pada pertengahan November ini bakal mempamerkan lebih 1,000 produk yang bercirikan Kelantan hasil usaha 200 usahawan tempatan.

Beliau berkata, pihaknya komited membantu dan menyokong pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu penubuhan KALA Sentral katanya, bertujuan untuk memperkasakan usahawan bumiputera terutamanya dalam bidang pengeluaran serta pembuatan produk berkaitan halal.

“Oleh itu kerajaan negeri memberi tanggungjawab kepada PKINK melalui anak syarikatnya, KALA Sentral Sdn Bhd sebagai sandaran penting untuk memainkan peranan membantu usahawan tempatan.

“Kita juga komited untuk terus membantu usahawan khususnya dalam bentuk program dan peralatan perniagaan bagi membangunkan semula perniagaan mereka selepas pandemik Covid-19,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -