Projek sungai tiruan di Kemaman bermula Januari depan

Sungai Kemaman.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Fasa pertama pembinaan sungai tiruan sepanjang lapan kilometer di daerah Kemaman akan dimulakan awal Januari depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Beliau berkata projek dari kawasan Paman ke Tasik Bungkus dekat Ibok itu dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

- Advertisement -

“Lebar sungai tiruan itu ialah 250 meter dan berketinggian dua meter. Jabatan Alam Sekitar telah memberi kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek ini.

“Keseluruhan projek bernilai RM300 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan dan dijangka siap dalam tempoh enam tahun lagi. Apabila siap kelak, masalah banjir di sekitar pekan Chukai akan dapat diminimumkan,” katanya.

Hanafiah berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses penghantaran barangan keperluan banjir sebanyak empat tan ke Pulau Redang di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Ketika ini, pertembungan air dari Sungai Air Putih dan Sungai Cerul yang terletak di Hulu Kemaman menyebabkan kawasan sekitar Chukai mengalami banjir setiap kali hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama dan keadaan lebih buruk jika berlaku fenomena air pasang besar.

Antara kawasan yang sering dilanda banjir di sekitar Chukai ialah Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Tempurung.

Ditanya mengenai kelewatan projek pembinaan itu, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata ia disebabkan proses pengambilan tanah milik penduduk. – BERNAMA

- Advertisement -