Muncul banyak parti Melayu pecah kesatuan ummah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemunculan lebih banyak parti politik yang diterajui orang Melayu dibimbangi boleh memecahkan kesatuan ummah sehingga memberi peluang kepada pihak lawan.

Banyak pihak yang ditemui bimbang hayat parti terbabit akan hilang begitu sahaja seperti yang berlaku terhadap Parti Melayu Semangat 46 dan banyak lagi parti lain.

Presiden NGO Prihatin Malaysia (PRIMAY) Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, kebelakangan ini kerap sangat muncul parti baharu yang diterajui orang Melayu.

- Advertisement -

Antaranya kata beliau Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Begitu juga nasib yang dijangka menimpa Parti Kuasa Rakyat yang baru diumumkan beberapa hari lepas.

“Parti itu tiba-tiba muncul tanpa ada peristiwa besar yang mampu menarik perhatian rakyat. Ia berbeza dengan parti lain yang muncul dengan sejarahnya tersendiri,” katanya di sini.

Media baru-baru ini melaporkan kemunculan Parti Kuasa Rakyat diuar-uarkan berkonsep Nasionalisme Marhaenisme, memperjuang nasib rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta anak muda.

Parti itu diasaskan abang Perdana Menteri, Kamarazaman Yaakob. Individu terbabit sebelum ini dikatakan pernah menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia, Semangat 46 dan Umno.

Dr Che Hamdan Che Mohd Razali

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali pula berkata, kemunculan parti terbabit mungkin menjadi sebuah parti simpanan untuk memecah belahkan Pakatan Harapan (PH).

Namun dalam masa yang sama katanya, ia juga dapat membuka ruang kepada pihak yang terpinggir apabila berlakunya perebutan kerusi dalam PRU akan datang.

Ia juga dilihat sebagai salah satu strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana kecelaruan persaingan politik yang berlaku sekarang.

“Maka tidak hairanlah dari awal lagi parti baharu terbabit menyatakan sikapnya sebagai mesra Barisan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -