Ulama, barisan depan pimpin perjuangan Islam

Mohd Shukri (dua dari kanan) pada majlis penyerahan replika cek RM1,000 oleh penyumbang kepada Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis di Arau, Perlis baru-baru ini.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Ulama merupakan golongan yang perlu berada di barisan hadapan bagi memastikan peranan mereka memimpin saf perjuangan menuju jalan kebenaran seperti yang digariskan oleh Islam.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, institusi ini menjadi tonggak utama kepada jemaah Islam berdasarkan kepada ketokohan dan tahap keilmuan yang dimiliki oleh mereka.

- Advertisement -

Justeru, beliau menyarankan agar golongan ulama perlu menguasai tiga elemen penting dalam jemaah iaitu tarbiyah, siyasah dan dakwah.

“Saya juga menyarankan kepada seluruh pendukung ulama supaya sentiasa menguasai ilmu semasa agar dapat menjuarai isu-isu masyarakat.

“Ini termasuklah soal berkaitan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Ulamak PAS Kawasan (DUPK) Kali Pertama di Kompleks Pendidikan MADI, Jejawi Dalam di sini pada Ahad lepas.

Mesyuarat agung tahunan dewan itu dirasmikan secara serentak dengan dihadiri seramai 60 orang perwakilan DUPK daripada ketiga-tiga kawasan di negeri ini.

Sehubungan itu antara lain, Mohd. Shukri mengingatkan golongan ulama tentang kepentingan mereka dalam  memainkan peranan bagi menjayakan agenda penyatuan ummah yang diusahakan PAS, meskipun berhadapan dengan pelbagai kesukaran pada ketika ini.

“Pilihanraya Umum ke 15 (PRU-15) nanti akan menjadi mudah apabila ketiga-tiga parti terbesar Melayu dalam Perikatan Nasional (Pas, Bersatu dan Umno) dapat bergerak bersama-sama. Jika kita tidak bersatu, tidak mustahil Pakatan Harapan (PH) akan kembali berkuasa,” katanya lagi.

Untuk rekod, tahun ini merupakan kali pertama dewan ulama kawasan-kawasan bermuktamar kerana sebelum ini kawasan-kawasan hanya berstatus penaja.

Dewan Ulamak PAS Kawasan Padang Besar diketuai oleh Ustaz Muhammad Rohim Kamis dan dibantu oleh Timbalan Ketua, Ustaz Zul Hilmi Rasid bersama Naib Ketua, Ustaz Ibnu Ibrahim.

Sementara bagi Dewan Ulamak PAS Kawasan Kangar pula, Ustaz Mohamad Zahid Ibrahim dilantik menjadi ketua dan dibantu oleh Timbalan Ketua, Ustaz Abu Afif bersama Naib Ketua, Ustaz Fakhrul Anwar Ismail.

Bagi kawasan Arau pula, ia diketuai oleh Ustaz Abu Amirullah bersama Timbalan Ketua, Che Ani Hassan dan Naib Ketua, Ustaz Abu Haseef.

Turut diadakan penyerahan replika cek berjumlah RM1,000 oleh para penyumbang kepada Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis (DUPNPs) sempena Pelancaran Dana PRU15 DUPNPs. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -