IWK ambil alih pembentungan awam di Semenanjung 1 Dis

Foto daripada Facebook Indah Water Konsortium Sdn Bhd.
- Advertisement -

PETALING JAYA: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengambil alih pengoperasian dan penyelenggaraan sistem pembentungan awam di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bermula 1 Dis depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dengan pengambilalihan itu, seluruh pengurusan sistem kumbahan di Semenanjung telah diambil alih oleh IWK.

- Advertisement -

“Melalui pengambilalihan tersebut IWK akan bertanggungjawab ke atas operasi dan penyelenggaraan 191 loji rawatan air kumbahan iaitu 147 dalan kawasan MBJB dan 44 lagi di MBPG melibatkan populasi 1.46 juta penduduk.

“Sejumlah lima loji kumbahan berpusat besar akan dibangunkan iaitu loji serantau Sungai Kim-Kim Pasir Gudang, Tasik Utara, Mount Austin, Kota Puteri dan Kulai,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kolaborasi bagi pengambilalihan sistem pembentungan awam di MBJB dan MBPG antara Johor Special Water Sdn Bhd (syarikat milik kerajaan negeri Johor) dan IWK di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Tuan Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menyaksikan majlis menandatangani kolaborasi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Special Water Zulkiflee Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam.

Tuan Ibrahim berkata staf sedia ada akan dikekalkan selain peruntukan RM97 juta akan disalurkan bagi menaik taraf loji sedia ada di kedua-dua majlis bandaraya terlibat dengan kos RM97 juta.

Beliau berkata melalui penyerahan itu fokus akan diberikan kepada pengurusan operasi, penyelenggaraan yang lebih sistematik dan pematuhan efluen terawat mengikut piawaian yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

Katanya, Kerajaan Persekutuan turut memberi fokus kepada 18 aliran sungai utama yang terlibat secara tidak langsung daripada permasalahan beban pencemaran air kumbahan tidak dirawat dengan sempurna seperti di Sungai Skudai, Sungai Kim-Kim dan Sungai Masai.

Tuan Ibrahim berkata masalah utama dihadapi oleh sungai-sungai ini ialah kandungan tinggi tahap permintaan oksigen biokimia, pepejal terampai dan ammonia nitrogen. – BERNAMA

- Advertisement -