Penubuhan Jawatankuasa siasat langkah tepat

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas siasatan bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata ini merupakan satu khabar gembira kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya keluarga arwah Adib.

“Kes ini adalah satu kes berprofil tinggi yang telah menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia diatas sentimen penjawat awam dibunuh semasa bertugas disebabkan oleh sebuah rusuhan yang tidak sepatutnya berlaku disebuah negara yang ada undang-undang.

“Kes ini berlanjutan begitu lama dan diharapkan dengan penubuhan satu jawatankuasa khas ini akan dapat menyelesaikan kes ini sehingga ke akar umbi dan diambil tindakan yang sewajarnya untuk kes ini.

“Ini termasuk mungkin memberikan pampasan sepatutnya kepada keluarga arwah Adib dan mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat dengan rusuhan di kuil tersebut,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata, kes ini menjadi perhatian dan ditunggu keputusan oleh rakyat Malaysia yang sensitif dengan apa yang berlaku.

“Ini merupakan suatu keputusan yang sangat tepat pada waktunya disaat semua rakyat begitu ternanti-nantikan berhubung keputusan kes yang berprofil tinggi ini,” katanya.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan jawatan kuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Selain itu, turut dianggotai Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Kamaruzaman berharap dengan penubuhan jawatankuasa itu, mereka yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dan membuat siasatan secara menyeluruh dan sepatutnya.

“PAS berharap kes ini dapat diselesaikan secara menyeluruh hingga diambil tindakan yang sewajarnya kepada semua yang terlibat dalam insiden ini,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -