Tindakan PH tarik semula semakan keputusan ICJ rugikan negara

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang untuk membuat semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung hak Singapura terhadap Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca, sebelum ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menarik semula semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada  tahun 2018, adalah satu keputusan yang sangat merugikan negara.

- Advertisement -

“Jika berpandukan kepada kenyataan mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika itu, beliau telah jelaskan, terdapat fakta baharu yang telah diperoleh kerajaan untuk membuat semakan semula berhubung keputusan ICJ. 

“Fakta itu boleh digunakan untuk semakan semula, kerana kita faham, dalam tempoh yang singkat, kita mempunyai kesukaran untuk mendapatkan dokumen lama. Apatah lagi, dokumen yang disebut itu terletak dalam sebuah arkib di United Kingdom (UK),” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Sehubungan itu menurutnya, apabila Malaysia memperolehi dokumen berkaitan selepas ICJ membuat keputusan bahawa Pulau Batu Puteh adalah hak Singapura pada 2008, keputusan telah dibuat agar negara ini membuat permohonan ICJ  bagi menyemak semula keputusan itu.

Khairul Faizi.

Tambah Khairul Faizi, beliau difahamkan Malaysia perlu meneliti lebih 3,000 dokumen yang telah disimpan di arkib UK untuk mencari bukti kukuh bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia. 

“Malaysia mempunyai peluang untuk membawa isu ini untuk disemak semula di ICJ dan sudah tentulah saya sangat menyokong keputusan kerajaan hari ini untuk membuat semakan semula.

“Hal ini adalah kerana Pulau Batu Puteh merupakan sebuah pulau yang sangat penting dengan kedudukan yang strategik di perairan Malaysia,” tegasnya.

Khairul Faizi berkata, disebabkan hak terhadap Pulau Batu Puteh telah diberikan kepada Singapura, perairan Malaysia menjadi semakin kecil manakala  kawasan perairan Singapura sebaliknya  pula menjadi lebih besar.

Keputusan ICJ itu katanya, telah memberi kesan kepada perairan Malaysia sendiri.

“Oleh itu, saya berharap supaya dengan keputusan kerajaan untuk membuat semakan semula dan menubuhkan satu pasukan khas bagi tujuan itu akan memberi ruang yang lebih baik di ICJ kelak,” ujarnya.

Khairul Faizi juga menggesa supaya pasukan yang ditubuhkan itu dapat memberikan tumpuan terhadap penyediaan dokumentasi dan bersedia untuk membuat penghujahan semasa proses penghakiman kelak.

“Malaysia perlu mengelakkan kejadian sebelum ini daripada berulang kembali, apabila pasukan yang terlibat secara langsung untuk membawa kes ini ke ICJ dilihat tidak cukup bersedia dan tidak dapat menyediakan dokumen yang diharapkan.

“Hal itu termasuklah apabila timbul satu isu yang mana pasukan Malaysia menggunakan sekeping foto Pulau Batu Puteh yang berpandukan sebuah blog bagi menunjukkan jarak daripada pantai Semenanjung Malaysia ke pulau tersebut.

Tindakan itu kata Khairul Faizi, merupakan sesuatu yang langsung tidak berintergiti, selain amat memalukan negara. Lebih memalukan lagi apabila tidak dapat dikenal pasti siapakah pemilik blog berkenaan. 

Oleh itu menurutnya lagi, beliau berharap pasukan yang ditubuhkan kerajaan kali ini mempunyai kebolehan dan kecekapan untuk mempertahankan kedudukan Pulau Batu Putih sebagai hal Malaysia.

Tambahnya, beliau difahamkan terdapat tiga dokumen baharu yang merupakan bukti kukuh yang sangat kuat untuk membantu kerajaan Malaysia semasa proses penghakiman itu kelak. 

“Dokumen pertama  yang disebut sebagai Telegram Sulit 1958, daripada Gabenor Singapura kepada Setiausaha Negeri-negeri di Jajahan yang mencadangkan kedudukan koridor perairan antarabangsa kira-kira 1.6 km dari Pulau Batu Puteh.

Dokumen berkenaan tegas Khairul Faizi, sekali gus menunjukkan bahawa Pulau Batu Puteh bukan milik wilayah Singapura.

“Dokumen kedua ialah laporan insiden kapal pada 1958 yang menyebut tentang ketidakmampuan Tentera Britain untuk membantu kapal Malaysia yang diekori bot bersenjata Indonesia di pulau tersebut kerana kawasan berkenaan berada dalam wilayah perairan Johor.

“Dokumen ketiga pula ialah  peta 1962 yang mempunyai nota tulisan tangan pada tahun 1969 yang menunjukkan bahawa  wilayah perairan Singapura tidak melebihi sekitar Pulau Batu Puteh,” tegasnya.

Tambah Khairul Faizi, ketiga-tiga bukti yang disenaraikan itu merupakan hujah yang sangat penting untuk kerajaan Malaysia.

Beliau juga berharap agar dokumen yang disebut oleh Mohamed Apandi itu dapat menjadi bukti ketika semakan semula dan semasa perbicaraan itu kelak.

“Saya menyokong penuh tindakan kerajaan untuk membuat semakan semula dengan menubuhkan pasukan khas bagi tujuan berkenaan,” katanya.– HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -