Kebenaran rentas negeri bukan tiket ‘balas dendam’

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kebenaran rentas negeri bukan tiket untuk ‘balas dendam’ dalam kalangan orang ramai selepas sekian lama ‘berkurung’ akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Ahli Dewan Negara, Senator Ahmad Yahaya berkata, rakyat perlu mengambil pendekatan sederhana dan jangan keterlaluan kerana wabak ini belum lagi berakhir.   

- Advertisement -

“Kena patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jangan pula bertindak seolah-olah ‘balas dendam’. Kita wajar ambil pendekatan sederhana, Macam orang utara kata, ‘kena cermat’,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini. 

Menurutnya lagi, kebenaran rentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob semalam membuktikan kejayaan hasil kerjasama serta kepatuhan rakyat terhadap arahan kerajaan. 

“Malah, ia juga menunjukkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjaya mencapai matlamat dan bergerak lancar,” katanya. 

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah melihat kebenaran rentas negeri ini juga bakal merancakkan semula sektor ekonomi setelah ‘lesu’ seketika akibat pandemik ini. 

“Kebenaran rentas negeri ini akan kembali merancakkan lagi ekonomi negara. Mereka yang berkemampuan, berbelanjalah lebih supaya dengan itu dapat menggerakkan kembali ekonomi yang agak malap sejak kebelakangan ini.

“Kesihatan dan pemulihan ekonomi yang berjalan seiring ini perlu dipelihara sebaiknya agar manfaatnya kekal untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -