Kerajaan libatkan anak muda dalam ekonomi digital

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mentransformasikan semua Pusat Internet Desa dan Komuniti menjadi Pusat Digital Ekonomi Keluarga Malaysia.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata perubahan itu adalah antara usaha kerajaan untuk membentuk ruang ekonomi yang luas melibatkan anak muda dalam ekonomi e-Dagang secara digital melalui sistem pembayaran teknologi kewangan (Fintech).

- Advertisement -

Katanya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan untuk menggerakkan program penggalakan terhadap penguasaan Fintech dan e-Dagang.

“Kementerian turut menambah jumlah pusat digital ekonomi di seluruh negara. Usaha ini akan terus dipertingkatkan bagi memastikan anak muda menguasai bidang ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan di Dewan Negara hari ini.

Annuar berkata, bagi membolehkan usaha ini meluas sampai ke kawasan desa dan luar bandar, program biasa telah dilaksanakan sekian lama.

“Antaranya program kempen e-Dagang untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana serta Mikro (PKSM). Saya sedang melihat semula keberkesanan program ini yang telah memberikan manfaat kepada 204,262 peserta PKSM.

“Terdapat juga kempen Usahawan Muda dan ada juga usaha untuk mengintegrasikan ke dalam subjek MPU (Mata Pelajaran Umum) di Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program silibus keusahawanan digital dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan ingin memastikan sambungan internet mencapai 100 peratus bagi seluruh rakyat negara ini.

“Kita telah mengisytiharkan bahawa sambungan internet adalah sebahagian daripada hak asasi manusia. Kita mesti berusaha ke arah itu.

“Kedua, bukan sahaja soal sambungan, tetapi kualiti sambungan. Banyak tempat ada kemudahan jalur lebar, tetapi kualiti rendah. Maka program kerajaan sekarang ditumpukan kepada roll out program JENDELA bagi memastikan 98 peratus daripada kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G dan kita migrasi daripada bekalan 3G sekarang ini.

“Ini program-program yang sedang berjalan dan juga program titik kehadiran (POP) dengan sekolah yang mendapat bekalan secara tidak stabil, sekarang ada program jalur lebar untuk 4,000 buah sekolah yang telah terpilih. Itu secara umum daripada sudut penyediaan prasarana,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/21

- Advertisement -