Pelan jangka panjang tangani isu kesihatan mental

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2020-2025) sebagai antara strategi jangka panjang menangani peningkatan kes bunuh diri di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata pelancaran sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober ini, akan menggariskan strategi yang jelas bagi mencegah isu tingkah laku bunuh diri dan memfokuskan kepada kolaborasi antara agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mempromosikan kesihatan mental kepada kumpulan sasar.

- Advertisement -

Katanya, pelan itu bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, meningkatkan strategi pencegahan bunuh diri dan kesiapsagaan kesihatan mental dalam menghadapi kecemasan, krisis dan bencana.

“Kementerian Kesihatan juga akan mengukuhkan pelaksanaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi dua pendekatan, iaitu pertama, mengukuhkan Talian Bantuan Sokongan Psikososial dengan kerjasama NGO bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang memerlukan sokongan semasa pandemik Covid-19.

“Pendekatan kedua, menambah pegawai psikologi kaunseling dan pegawai kerja sosial di peringkat komuniti bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan serta penyalahgunaan substans,” katanya menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Aaron Ago berkata, seramai 200 Pegawai Psikologi Kaunseling telah ditempatkan di setiap daerah dan negeri untuk memberi perkhidmatan intervensi kaunseling.

Beliau berkata, advokasi kesihatan mental juga dilaksanakan terhadap kumpulan sasar dan masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu, termasuk melibatkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

“Kementerian Kesihatan juga mengukuhkan program kesihatan mental di peringkat komuniti menerusi perkhidmatan di klinik kesihatan yang meliputi aktiviti promosi dan pengesanan awal melalui saringan untuk mengesan awal tahap stres, keresahan dan kemurungan serta individu yang berisiko mengalami masalah kesihatan mental serta pelaksanaan intervensi.

“Perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental juga disediakan di 60 hospital kerajaan, 1,161 buah klinik kesihatan di peringkat kesihatan primer dan 28 buah Pusat Komuniti Kesihatan Mental (Mentasri),” katanya.

Sementara itu, katanya usaha dilakukan untuk meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri dengan melaksanakan latihan secara berterusan kepada barisan hadapan seperti anggota kesihatan, polis dan bomba.

Katanya, kementerian juga mempergiatkan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta NGO bagi pengukuhan program dan peranan mereka mengendalikan isu kesihatan mental dan isu tingkah laku bunuh diri secara bersepadu. – HARAKAHDAILY 7/10/21

- Advertisement -