NGO rayu PRN Melaka tidak diadakan tempoh terdekat

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Ketika pemimpin politik semakin ghairah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya ada pihak mahu pengalaman yang berlaku pada PRN Sabah tahun lepas sebagai pedoman.

Mereka tidak mahu penularan wabak Covid-19 yang menjadi gelombang kedua ke seluruh negara tahun lepas berulang semula.

Presiden Prihatin Malaysia (PRIMAY) Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, PRN Sabah tahun lepas membawa bencana Covid-19 sehingga menular ke seluruh negara.

- Advertisement -

Katanya situasi yang berlaku itu memberi impak kepada seluruh rakyat sehingga sekarang.

“Maka mengambil kira pengalaman yang berlaku itu dicadangkan PRN Melaka tidak diadakan dalam tempoh terdekat biarpun Dewan Undangan Negeri (Dun) sudah dibubarkan.

“Langkah pengisytiharan darurat juga membolehkan PRN Sarawak tidak diadakan walaupun sudah cukup tempuh matang,” katanya di sini.

Dun Melaka dibubar pada Isnin lalu selepas empat penyokong kerajaan menyatakan hilang sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Dato’ Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Adun terbabit iaitu dua dari Umno iaitu Dato’ Seri Idris Haron dan Dato’ Nor Azman Hassan, selain itu Dato’ Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan Dato’ Norhizam Hassan Baktee (Bebas).

Drs Zainuddin yang juga Ketua Penerangan Assabiqun Kelantan berkata, pihaknya turut menghantar warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya PRN Melaka tidak diadakan dalam tempoh terdekat kerana penularan Covid-19.

Menurutnya juga berdasar perlembagaan negara, Raja Berperlembagaan mampu memain peranan mempertahankan keutuhan agama, politik, sosial, budaya dan Ekonomi.

Selain itu berperanan sebagai tunjang mempertahankan keamanan nasional serta rakyat jelata.

Oleh itu katanya PRIMAY mencadangkan Melaka ditadbir secara terus Yang Dipertua Negeri Melaka sehingga cukup tempoh matang penggal ke-14.

“Lagipun pergolakan politik yang berlaku itu bukan lahir daripada rakyat tetapi kluster individual ego sentrik sehingga sanggup melanggar titah Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/10/2021

- Advertisement -