ADUN Telok Mas gugur keahlian serta-merta

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan telah membuat ketetapan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Dato’ Noor Effandi Ahmad digugurkan keahliannya serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, ketetapan tersebut akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan datang.

- Advertisement -

“Biro Politik Bersatu telah bermesyuarat pada hari ini untuk membincangkan tentang perkembangan politik terkini di negeri Melaka.

“Sehubungan itu, kami melahirkan rasa amat kecewa dengn empat ADUN Melaka yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka ketika rakyat sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Biro Politik Bersatu berpendapat bahawa kemelut politik tersebut berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu, dan ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara pada ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan.

“Kami berpendirian bahawa kemelut politik di Melaka ini perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira akan kepentingan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -