Program RNB tingkatkan pengetahuan politik belia

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

Senator Ir Khairil Nizam Khirudin

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Sebanyak 114 program Rukun Negara@Belia (RNB) khusus untuk golongan belia negara ini dirancang bagi memberi kesedaran yang berterusan mengenai hak mereka untuk mengundi dalam pilihan raya.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata objektif utama program RNB adalah mewujudkan kesedaran di kalangan belia mengenai peranan, penyertaan dan mengambil tahu berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Katanya, RNB bertujuan melahirkan golongan belia yang sedar tentang konsep berkerajaan serta terlibat secara langsung dalam soal demokrasi negara.

“Pada masa sama, program ini membantu belia meningkatkan jati diri untuk menjadi warga yang bertanggungjawab dan mempunyai nilai patriotik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ir Khairil Nizam Khirudin yang meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan program berkaitan Undi-18 untuk menjadikan golongan belia lebih peka, cakna dan terlibat dalam proses demokrasi negara.

Ahmad Faizal berkata, pengisian utama RNB ialah menyedarkan golongan belia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berikutan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, selain meningkatkan literasi politik.

Setakat 15 September lalu, katanya sebanyak 87 program RNB dilaksanakan dengan penyertaan seramai 55,696 orang.

“Program dilaksanakan secara bersemuka dan dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah pendidikan dan kesedaran berterusan, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan merangka Kempen Literasi Politik yang bermatlamat untuk memberi kesedaran dan kefahaman, terutama kepada belia yang akan mengundi buat kali pertama.

“KBS menghasilkan satu video pendek Etos Anak Muda yang bertujuan memberi penerangan dan pengukuhan kefahaman berkaitan Malaysia yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya.

Katanya, antara program lain yang dilaksanakan ialah Program Rakan Muda Klik, iaitu program secara dalam talian berbentuk kuiz yang merangkumi aspek kenegaraan, patriotik, politik serta tadbir urus negara.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan generasi muda bagi mentransformasikan nilai demokrasi, pengetahuan am dan kenegaraan, selain meningkatkan jati diri serta semangat kenegaraan peserta,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/21

- Advertisement -