Masa depan politik Melaka, segalanya berkemungkinan

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

- Advertisement -

RENCANA ini ditulis hanya beberapa jam selepas Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Idris Haron membuat pengumuman meletakkan jawatan sebagai Exco dan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Turut mengikut jejak langkah beliau ialah tiga orang lagi Adun kerajaan iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas–Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Rakyat Melaka yang ‘innocent’ dan tidak mengikuti perkembangan politik Melaka mungkin berasa terkejut dengan perkembangan ini. Namun dalam kalangan orang politik tindakan ini memang sudah kuat terhidu sejak beberapa minggu lepas lagi.

Difahamkan tindakan Idris ini adalah lanjutan daripada hubungan dingin beliau dengan pimpinan Umno Melaka. Pada masa ini Idris sudah tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Umno.

Dengan pengumuman Idris ini, penulis membayangkan beberapa kemungkinan yang akan berlaku di negeri paling bersejarah dalam Malaysia ini.

Kemungkinan yang pertama ialah Umno akan memujuk semula Idris agar kekal menyokong kerajaan dengan memberinya jawatan KM. Jadi Idris akan dapat menjadi KM semula seperti yang diinginkannya selama ini. Tutup kes.

Jika berjaya, Idris sekadar mengulangi langkah Umno di Perak dan di peringkat Persekutuan yang berjaya mengambil alih jawatan Menteri Besar dan Perdana Menteri dengan cara menarik sokongan kepada Menteri Besar dan Perdana Menteri asal.

Namun bagi penulis dari sudut menjaga air muka pimpinan Perhubungan Umno Negeri Melaka, mungkin ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan mereka kerana ia mungkin dilihat seolah-olah melutut kepada pemberontakan Idris. Namun ia tetap menjadi salah satu daripada kemungkinan.

Kemungkinan yang kedua ialah, sekiranya Umno gagal memujuk Idris, maka Idris akan membentuk kerajaan dengan sokongan Pakatan Harapan (PH). Dan Idris adalah Ketua Menterinya. Perkara ini juga sudah menjadi cakap-cakap kedai kopi dalam kalangan ahli politik pada masa ini.

Logiknya untuk apa Idris bertindak menarik sokongan begitu sahaja? Dia mesti akan menjangkakan tuntutannya tidak akan dilayan Umno Melaka. Tidak mungkin Idris bertindak begini untuk sekadar untuk membubarkan Dun. Jika bubar Dun maka berakhirlah politik Idris. Dia pun sudah tidak memegang apa-apa jawatan dalam Umno.

Dan tidak mungkinlah Idris sanggup bersama dengan PH jika sekadar menjadi Exco sahaja. Pada masa ini pun beliau sudah menjadi Exco dalam kerajaan BN. Takkanlah beliau sanggup menggadaikan nama baiknya di mata orang Melayu sekadar menjadi Exco semula sahaja.

Berdasarkan kemungkinan ini, Idris akan merasa menjadi KM Melaka sekali lagi. PH pula walau pun tidak dapat memegang jawatan KM namun sekurang-kurangnya mereka dapat menjadi kerajaan semula walau pun untuk jangkamasa tidak sampai dua tahun.

Dan penulis percaya BN Melaka pula tidak mungkin akan membenarkan perkara seperti ini untuk berlaku. Tidak mungkin mereka sanggup berputih mata melihat kerajaan jatuh semula kepada PH.

Ini akan menjurus kepada kemungkinan yang ketiga iaitu Ketua Menteri Melaka sekarang akan mengadap Tuan Yang Terutama Gabenor Melaka untuk membubarkan DUN dan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Jika ini berlaku, maka ia akan akan menjadi ‘pilot project’ dan eksperimen kepada hubungan antara PAS, Bersatu dan Umno.

Walau pun PN dan BN pernah melalui PRN Sabah bersama namun masa itu BN masih berkawan dengan PN walau pun tidak mesra. Pada masa ini pula BN sudah pun menjatuhkan ‘hukuman mati’ pada PN.

Sekiranya DUN Melaka dibubarkan maka semua ini kita akan lihat sebagai eksperimen terhadap apa yang akan berlaku di Malaysia dalam PRU 15 nanti. Dan Melaka akan menjadi negeri yang benar-benar bersejarah.

Yang pasti salah satu daripada kemungkinan-kemungkinan tadi pasti akan berlaku. Rasanya takkan lari daripada itu. – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -