Temu duga pengambilan guru baharu hingga Disember

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Proses temu duga secara berfasa pengambilan seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 bermula sejak 8 September lalu dan dijangka selesai, Disember depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Dato’ Dr Mah Hang Soon, berkata urusan pengambilan PPP secara one-off ini dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sejak 7 Julai lalu.

- Advertisement -

Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), katanya terdapat 21,564 kekosongan guru di sekolah seluruh negara setakat 19 Disember 2021.

Katanya, selepas mengambil kira pengambilan PPP secara one-off, baki kekosongan 2,862 jawatan guru akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh SPP.

“Jika bilangan calon yang berjaya dilantik dalam kalangan graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan belum mencukupi, SPP akan melaksanakan kaedah lantikan secara Perkhidmatan Dalam Kontrak (COS),” katanya menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli meminta penjelasan kerajaan berhubung perancangan terperinci Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan pengambilan khas 18,702 guru gred DG41 seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan sebelum ini.

Hang Soon menyuarakan keyakinan terhadap pengambilan guru secara one-off berkenaan mampu menyelesaikan masalah kekurangan guru KPM di seluruh negara.

Pada 20 Jun lalu, KPM mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 orang pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) gred DG41 secara one-off bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM.

Sementara itu, Ahmad Fadhli mencadangkan kepada KPM supaya menyelesaikan terlebih dahulu isu guru duka lara, iaitu guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing akibat perbezaan tempat bertugas, sebelum menempatkan guru baharu di sekolah.

Menjawab soalan tambahan itu, Timbalan Menteri Pendidikan berkata, KPM sentiasa mengutamakan permohonan melibatkan pertukaran guru bagi kategori pasangan terpisah.

Katanya, kategori berkenaan merupakan peratus kelulusan yang tertinggi berbanding kategori lain, iaitu seramai 17,179 guru antara tahun 2016 hingga Jun lalu.

“KPM turut membuat penambahbaikan dengan menyediakan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 7/2021 Pelaksanaan Permohonan PPP di Sekolah dan Kolej Vokasional bersama satu garis panduan berkaitan permohonan pertukaran guru yang akan dilaksanakan sepenuhnya mulai Januari 2022,” katanya.

Katanya, garis panduan itu memperincikan perkara berkaitan dasar pertukaran guru yang akan digunakan sebagai rujukan kepada pelaksanaan permohonan pertukaran guru. – HARAKAHDAILY 5/10/21

- Advertisement -