Dividen kompetitif galakkan rakyat menabung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif simpanan dan tabungan dengan pemberian dividen kompetitif perlu diperkenalkan kerajaan dan institusi berkaitan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menabung.

Penganalisis ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, inisiatif berkenaan antara yang dapat membantu merapatkan lagi jurang pendapatan yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

- Advertisement -

Menurutnya, berdasarkan Kaji Selidik Kesan PKP 1.0 (penutupan penuh) pada isi rumah dan perniagaan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) sebelum ini menunjukkan bahawa kesan PKP 1.0, antara lain menggugat mata pencarian 2.8 juta individu yang bekerja sendiri atau mengambil upah setiap hari.

“Selain itu, satu pertiga (isi rumah dan perniagaan) tidak berkemampuan untuk mengekalkan perbelanjaan lebih daripada sebulan dan 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang daripada dua bulan,” jelasnya.

Sementara itu, ujarnya, sebanyak  68 peratus perniagaan melaporkan  tiada sebarang penjualan atau hasil sepanjang  tempoh PKP 1.0, manakala  42.5 peratus pula memerlukan lebih daripada enam untuk perniagaan mereka kembali pulih.

Sehubungan itu, Anuar Shah berkata, perkara yang sama akan berulang kembali disebabkan faktor kehilangan pendapatan atau tiada dan tiada simpanan jika inisiatif menabung tidak dilaksanakan.

“Oleh itu, saya berpendapat kerajaan memerlukan mempertimbagkan untuk perkenalkan inisiatif simpanan secara tabungan dengan memberikan dividen kompetitif agar ia dapat mengalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menabung dan menyimpan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya lagi, bagi setiap isi rumah mencapai purata pendapatan mencecah RM10,000 setiap bulan menjelang 2025, kerajaan perlu mengkaji  gaji minimum golongan pekerja tempatan perlu dipertingkatkan.

“Antara cadangan lain, gaji minimum perlu berbeza antara pekerja tempatan dan pekerja asing. Ini kerana pekerja tempatan mempunyai pelbagai kos yang perlu dibayar sebagai contohnya,  kos sewa rumah atau perjalanan.

Tambah beliau, kos penginapan bagi pekerja asing pula  biasanya ditanggung oleh majikan, maka sebab itu, gaji minimum pekerja tempatan dan asing perlu dilihat dalam konteks terbabit.

“Perkara paling penting bukan purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 tetapi wang simpanan rakyat Malaysia pada lima tahun akan datang. Sekiranya berlaku krisis dan kecemasan pada masa akan datang, maka wang simpanan tersebut sangat diperlukan.

“Krisis seperti pandemik Covid-19 ini memberikan pesan yang jelas mengenai keperluan untuk menabung pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -